Rakyat Pilih BN… PH Masih Berjiwa Pembangkang, Main Isu Perkauman, Pecah-Belah Keharmonian


KUALA LUMPUR, 17 April – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan Lateffah Ali Kunju berkata, kempen yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau adalah cara yang tidak sihat apabila mereka cuba meracuni fikiran rakyat dengan mesej-mesej yang berbaur perkauman.

Katanya, PH seolah-olah tidak bertamadun dan masih berjiwa pembangkang sedangkan mereka sekarang ini kerajaan maka seharusnya kempen perkauman tidak dimainkan kerana impaknya ia boleh memecah-belahkan keharmonian rakyat.

“Saya kira PH berkempen salah tempat dan salah isu, apabila isu kaum dimainkan secara tidak langsung sokongan orang Melayu sudah tentu majoritinya akan berpihak kepada Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) manakala orang India dan Cina yang mengenalinya tidak teragak-agak untuk memberikan undi kepadanya.

“Kemenangan Tok Mat di Rantau ini jelas membuktikan rakyat menolak isu perkauman dan fitnah yang dimainkan oleh PH.

“Pengundi-pengundi Rantau juga sangat menghormati Tok Mat kerana beliau bukanlah seorang pemimpin yang rasis tetapi banyak membantu dari segi pembangunan sekolah-sekolah, tempat ibadah dan tidak kurang juga membantu orang-orang susah tanpa mengira kaum,”katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, terdapat pengundi Rantau menyatakan mereka tetap memberi sokongan terhadap Tok Mat kerana beliau cukup banyak berjasa kepada masyarakat Negeri Sembilan khususnya dan ia jelas dapat dilihat apabila mereka menterjemahkan semasa hari pengundian.

Lateffah yang juga merupakan Ketua UMNO Wanita Bahagian Seremban berkata, selain isu perkauman yang dimainkan oleh PH, isu nasional seperti isu Tabung Haji dan Felda turut diputar-belitkan untuk mengelirukan pengundi namun pengundi Rantau cukup cerdik dan tahu menilai kebenaran.

“Mereka sudah boleh menilai sebenarnya PH tidak pandai mentadbir dan tidak tahu bagaimana untuk melonjakkan pendapatan ekonomi negara. Sebab itulah kita dapat melihat sejarah tercipta apabila Tabung Haji mendapat hibah paling rendah iaitu sebanyak 1.25 peratus.

“Berkaitan Felda pula, apakah langkah yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan warga Felda tidak mengalami tekanan hidup? Idea yang diberikan semua merupakan idea bodoh,” bidas beliau.

Justeru katanya, dengan kekalahan di tiga PRK iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, maka Kerajaan PH harus sedar ini adalah isyarat bahawa rakyat sudah boleh menilai sendiri dan tidak perlu dimomokkan dengan isu-isu perkauman, penyelewengan mahupun menfitnah.

Keputusan PRK Rantau Sabtu lalu menyaksikan Tok Mat memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.