UMNO Kembali Stabil, PPBM Tertekan… PKR Lalui Perpecahan… Dap Krisis Identiti


KOTA KINABALU, 16 April – Kini UMNO adalah parti yang kembali stabil setelah disusun semula dan setelah mendapat hala tuju baru sementara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) mula tak tentu arah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata sekarang ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula dalam keadaan tertekan, PKR sedang melalui perpecahan yang besar dan Dap mengalami krisis identiti.

“Alhamdulillah. UMNO semakin pulih. Betul, kami tidak ada ramai YB-YB sekarang kerana ramai yang melompat, tetapi yang anehnya, lagi ramai YB yang melompat, lagi bertambah kuat UMNO dan lagi banyak UMNO menang pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Maknanya, jelas beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud, rakyat kini tidak lagi melihat kepada YB-YB sebagai kekuatan sesebuah parti politik terutamanya terhadap parti yang menerima YB-YB lompat.

“UMNO pada mulanya begitu bercelaru setelah kalah PRU-14 dan setelah berlakunya insiden lompat melompat. Kini UMNO adalah parti yang stabil setelah disusun semula dan setelah mendapat hala tuju baru.

“Dengan mengambil pengajaran dari kelemahannya yang lampau, lalu terus melangkah menyusun kekuatan baru, UMNO pasti akan kembali dengan versi yang lebih baik. Dari rakyat, untuk rakyat, demi rakyat. Insya-Allah,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.