Menjelang Setahun Pemerintahan PH… Hanya Sebuah Kerajaan ‘Penjenamaan Semula’ Dan ‘U-Turn’


PEMATANG PAUH, 16 April – 9 Mei akan datang menyaksikan genap setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selepas menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

‘Gah’ PH yang dibangga-banggakan selepas berjaya merampas Putrajaya kononnya mereka mampu mentadbir negara jauh lebih baik daripada BN rupanya hanyalah indah di atas kertas… realitinya amat mengecewakan.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Zaidi Mohd Said berkata, selepas diberi peluang oleh rakyat untuk menjadi kerajaan, maka bermulanya edisi terserlahnya segala ‘kobodohan’ watak-watak utama pemimpin PH yang rakyat anggap sebagai super-hero selama ini.

“Setahun memerintah, ternyata Kerajaan PH hanya bergantung sepenuhnya pada batang tubuh berusia 93 tahun itu (Tun Dr. Mahathir Mohamad). Tidak ada pencapaian yang boleh dibanggakan selain daripada ‘kehebatan’ mereka menanam benih permusuhan kaum yang sangat ketara.

“Melayu dan Bumiputera sebagai kaum majoriti semakin di pandang sinis oleh kaum-kaum lain, agama Islam dipermainkan, Raja-raja Melayu dihina dan sebaliknya hak dan keistimewaan kaum lain yang makin diberi keutamaan.

“Bukan itu sahaja, kerajaan PH juga tanpa segan silu ‘re-branding’ segala usaha dan kejayaan BN selama ini seperti UTC, BR1M, AES, RTC dan yang terbaru PERMATA. Setelah ditukar nama, semuanya dikatakan hasil mereka,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tegas Zaidi, kegagalan demi kegagalan PH akhirnya membuat rakyat muak dan menyampah, manakan tidak, setiap kali mereka gagal, BN akan dikambing hitamkan kononnya semua adalah kesalahan kerajaan lama.

“Ibarat bangkai gajah, lama-lama akan terhidu juga… begitulah PH. Janji bulan dan bintang mereka tidak mampu lagi mengaburi mata rakyat. Mungkin pada PRU-14 rakyat terpengaruh tetapi kini belum setahun, satu demi satu terbongkar.

“Tidak perlu untuk BN memburuk atau menabur fitnah kepada PH, lagi pun itu bukan cara BN kerana BN sentiasa bersandarkan fakta. Rakyat sendiri mampu menilai janji PH hanyalah janji manis dihujung bibir.

“Anak muda patah hati bila janji menghapuskan PTPTN tidak ditunaikan, janji menghapuskan tol, janji harga minyak RM1.50, janji peluang pekerjaan dan lain-lain lagi semuanya hanya sekadar janji manis dihujung bibir,” bidas beliau.

Justeru ulas Zaidi, apakah yang hendak dibanggakan oleh kerajaan Malaysia baru pada 9 Mei ini selain hanya sebuah kerajaan ‘Penjenamaan Semula’ dan kerajaan U-Turn! – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.