ECRL Diteruskan Bukti ‘U-Turn’ PH Konsisten

KUALA LUMPUR 16 April – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu malu untuk menyambung semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) demi kepentingan rakyat di negara ini.

Malah, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki secara sinis berkata, keputusan meneruskan kembali projek ECRL jelas membuktikan dasar ‘U-turn’ kerajaan PH yang semakin konsisten.

Beliau juga berharap Kerajaan PH tidak lagi mempolitikkan projek ini dengan pelbagai fitnah terhadap kerajaan terdahulu demi meraih sokongan.

“Rakyat tentu sekali tidak dapat melupakan pelbagai fitnah dan tohmahan dahsyat dilemparkan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sehingga hampir melumpuhkan projek yang memanfaatkan jutaan penduduk di negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Namun kini, semua sandiwara PH dilenyapkan dan mereka umpama wira negara dengan mengumumkan berjaya merunding semula terma projek ECRL ini dengan kos RM44 bilion, walhal ianya hasil daripada perubahan skala dan spesifikasi tertentu termasuk dibina tanpa terowong. Persoalannya, bagaimana dakwaan PH tentang pembaziran dan rasuah sebelum ini?” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau mengulas keputusan kerajaan PH yang menyambung semula pembinaan ECRL meliputi jajaran baharu dengan kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.