Tok Mat Harap Sokongan Diterjemah Di Kotak Undi


RANTAU, 13 April – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap sokongan yang diberikan oleh rakyat kepadanya akan diterjemahkan di kotak undi.

“Saya berasa amat gembira kerana rata-rata yang ditemui berkata akan membantu saya. Selama kita (BN) berkempen 14 hari sambutan daripada masyarakat amat baik sekali.

“Saya harap ini akan diterjemahkan dalam kotak undi nanti untuk memberikan saya sekali lagi sebagai wakil di sini,” katanya kepada media sebaik sahaja selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini hari ini.

Beliau tiba bersama isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta ahli keluarga beliau yang lain di pusat mengundi tersebut kira-kira jam 8.30 pagi dan selesai proses mengundi kira-kira setengah jam kemudian.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN mengucapkan tahniah atas penambahbaikan yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbanding semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Proses pengundian pagi ini nampak berjalan lancar dan ada penambahbaikan dari SPR hasil dari maklum balas yang kita berikan iaitu saluran satu dan dua dibuat dalam dewan, lebih dekat, dulu di atas timbulkan kesusahan terutama yang menggunakan kerusi roda.

“Ini satu penambahbaikan yang amat kita alu-alukan, tahniah kepada pihak SPR kerana mengambil kira terhadap maklum balas yang telah kita bagi hasil daripada pengundian PRU-14.

“Semasa PRU-14 semua kat atas dan berdiri lama. Di sini juga disediakan bangku untuk pengundi-pengundi warga emas, tahniah kepada SPR,” ujarnya lagi.

Hari ini, sebanyak 14 pusat mengundi dan 53 saluran dibuka bagi memberi kemudahan serta keselesaan kepada 20,793 pengundi biasa mengundi, bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

Manakala Dewan Serbaguna SJKC Bandar Sri Sendayan akan dijadikan sebagai pusat penjumlahan rasmi undi, lokasi sama penamaan calon pada 30 Mac lalu.

PRK DUN Rantau melibatkan empat penjuru di mana Barisan Nasional (BN) menampilkan penyandang, Datuk Seri Mohamad Hasan, anak kelahiran Rantau manakala Pakatan Harapan (PH) meletakkan Dr S Streram dari Klang, Selangor.

Turut bertanding dua calon Bebas iaitu R. Malar Vizhi dan Mohd Nor Yasin. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.