Rantau Memilih: Semoga Tok Mat Beroleh Kemenangan


RANTAU, 13 April – Tepat jam 8 pagi, pusat-pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dibuka bagi memberi laluan kepada 20,793 pengundi biasa menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi kawasan tersebut.

PRK DUN Rantau melibatkan empat penjuru di mana Barisan Nasional (BN) menampilkan penyandang, Datuk Seri Mohamad Hasan, anak kelahiran Rantau manakala Pakatan Harapan (PH) meletakkan Dr S Streram dari Klang, Selangor.

Turut bertanding dua calon Bebas iaitu R. Malar Vizhi dan Mohd Nor Yasin.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 14 pusat mengundi dan 53 saluran disediakan bagi kemudahan serta keselesaan pengundi untuk mengundi bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

SPR dalam satu kenyataan pada 30 Mac lalu menjangkakan peratusan keluar mengundi adalah lebih kurang 70 peratus dan dijangka mengumumkan keputusan rasmi sebelum jam 10 malam ini.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN akan mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Rantau, di sini, dijadualkan pada jam 8.15 pagi, bersama isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin serta ahli keluarga yang lain.

Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan akan dijadikan sebagai pusat penjumlahan rasmi undi, lokasi sama penamaan calon pada 30 Mac lalu.

Tempoh rasmi berkempen yang bermula sejak 30 Mac lepas berakhir 11.59 malam tadi.

Pada 9 April lalu, sejumlah 96 peratus daripada 110 orang pengundi awal telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan SPR dan Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S. Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan badan pengendali pilihan raya negara itu.

Pengundi dinasihatkan supaya keluar awal mengundi dengan membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang rasmi dan sah (yang memaparkan maklumat gambar, nama dan nombor kad pengenalan) serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya di dalam bilik pengundian. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.