Proses Pengundian Tenang, Harap Pengundi Terus Keluar

REMBAU, 13 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat proses pengundian yang berlangsung hari ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berjalan dengan tenang dan itulah yang diharapkan supaya pengundi dapat keluar mengundi dengan selesa.

Namun pada masa yang sama beliau mengharapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) SPR perlu lebih profesional kerana mereka badan bebas dan perlu menjadi bebas memantau setiap kesalahan serta tidak boleh berpihak kepada sesiapa.

“Sebagai contoh saya difahamkan… tidak boleh ada payung… tidak boleh ada tempat untuk kita menerima dan mendaftar pengundi dan sebagainya. Itu tidak menjadi kesalahan di bawah Akta Pilihan raya tetapi nampaknya tindakan SPR melebihi daripada apa yang sepatutnya. Yang pentingnya kita di peringkat BN kita boleh mengawal orang-orang kita daripada menjadikan kawasan tersebut tidak menyelesakan pengundi. Jadi itu yang paling penting… apa yang kita buat pun jangan menganggu pengundi.

“Tetapi nampaknya SPR menjalankan kuasanya melebihi kuasa yang dibenarkan oleh akta. Jadi saya haraplah SPR tidak menyalahgunakan kuasa yang ada sebab kalau kita lihat kesalahan pilihan raya, kalau hari ini nak ditekankan, pihak PH dah melakukan kesalahan setiap hari… adakan jamuan. Jamuan dalam surat SPR tidak dibenarkan tetapi mereka iklankan ada ceramah beserta jamuan, itu salah secara bertulis dah ada….

“Mereka iklankan secara bertulis jamuan makan… kemudian ada konsert… konsert tidak dibenarkan tetapi hampir setiap masa ada konsert. Jadi kesalahan berlaku lebih besar dibuat oleh PH tetapi tidak ada tindakan sedangkan apa yang tidak menjadi kesalahan dijadikan kesalahan pada hari mengundi,” katanya kepada UMNO-Online ketika melawat pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Sendayan.

Katanya lagi apa yang berlau di luar kawasan 50 meter daripada pusat pengundian sepatutnya tidak dianggap sebagai kesalahan seperti mana peraturan yang ditetapkan oleh Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika ditemui di pusat pengundian Dewan Orang Ramai Angsamas pula berkata jentera parti di semua peringkat berjalan dengan lancar sepertimana dirancangkan.

“Kita harap jentera akan terus bekerja lebih kuat bagi membolehkan jentera parti dapat mengeluarkan seramai mungkin pengundi yang kita sasarkan sehingga tempoh pengundian tamat. Ini penting bagi kita boeh mencapai sasaran yang ditetapkan dan kita berkeyakinan dengan keadaan semasa.

“Yang lebih istimewa kita dapat perhatikan gabungan jentera pelbagai parti baik UMNO, rakan-rakan komponen dalam BN, PAS dan juga rakan-rakan dalam PAS serta NGO yang membantu kita dan ini cukup baik serta menggambarkan apa yang kita telah rancang dapat berjalan dengan baik,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.