Laungan ‘Tok Mat’, Pengantin Baru Warnai Hari Mengundi
REMBAU,13 April – Laungan ‘Tok Mat’…’Tok Mat’…’Tok Mat’ dan diselang seli ‘Nombor Satu’ mewarnai suasana hari pengundian hari ini di beberapa pusat pengundian yang dibuka mulai jam 8.0 pagi tadi.
Perayu-perayu undi yang berada di kawasan yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cukup bersemangat dan masing-masing tidak lekang mengangkat poster calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat serta bendera BN setiap kali kenderan melepasi kawasan berkenaan.
Krew UMNO-Online yang membuat tinjauan di beberapa pusat pengundian pagi ini termasuk di SK Mambau, Balai Raya Kg Bemban, SK Kg Nyatoh, Dewan Orang Ramai Taman Angsamas mendapati suasana biasa manakala SJKT Bandar Sendayan menampakkan suasana cukup meriah kehadiran penyokong BN dan Pas yang berada di kawasan pusat pengundian.
Di pusat pengundian SJKT Bandar Sendayan, kehadiran sepasang pengantin baru yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi turut menarik perhatian dan tumpuan jentera parti.
Dengan berpakaian pengantin baru, pasangan tersebut yang keluar daripada tempat mengundi dan secara kebetulan melalui kawasan yang di duduki penyokong BN secara spontan mendapat ucapan tahniah daripada mereka yang berada di kawasan tersebut dan pada masa yang sama turut menyanyikan lagu Selamat Pengantin Baru.
Manakala di SK Dato’ Raja Melana (PDM Linsum), jentera dan perayu undi menghiburkan pengundi serta masyakat dengan nyanyian “Terima kasih… terima kasih… undi Tok Mat.. terima kasih.. terima kasih… undi Tok Mat.” -MediaUMNO