Tuduh Rasis Dan Serang Peribadi, Fitnah Terdesak PH Untuk Menang PRK Rantau

RANTAU, 12 April – “Patung besar di Batu Caves pun UMNO tidak usik… walau PAS dituduh ekstrim tapi patung besar di Kelantan pun juga tidak diusik, jadi macamana kita dituduh rasis dan disamakan macam Taliban,” ujar Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Rembau Ustaz Shukri Samsudin.

Jelas beliau, Pakatan Harapan (PH) sebenarnya hanya mahu menakut-nakutkan orang bukan Islam kerana mereka sedar sekiranya UMNO dan PAS bersatu, maka PH bakal tumbang.

Beliau berkata demikian menerusi Program Bual Bicara ‘Apo Nak Dikato’ dengan mengupas isu ‘Kempen Terdesak… Fitnah Saat Akhir Di Rantau’ yang disiarkan melalui Facebook UMNO-Online, malam tadi. Turut bersama beliau ialah Setiausaha Agung Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakob dan dihoskan Wan Salwati Abdullah.

Mengupas lebih lanjut Shukri berkata, antara isu sentimen ini dimainkan oleh PH di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau adalah menakut-nakutkan orang bukan Islam dengan melabel penyatuan UMNO-PAS sebagai Taliban yang kononnya akan menyerang orang bukan Islam.

“Kalau rakyat boleh melihat, di Malaysia ini tidak akan berlaku perkara seperti ini sebab itu saya cakap, patung besar di Batu Caves pun kita tidak usik, sama di Kelantan… walaupun PAS dituduh ekstrim tetapi patung besar di negeri itu juga tidak diusik.

“Jadi, sentimen yang dimainkan ini hanyalah nak takut-takutkan orang bukan Islam sebab mereka tahu undi bukan Islam memainkan peranan penting di PRK Rantau ini. Selain itu mereka juga cuba pecah-belahkan pengundi Melayu… cuba nak perangkap di situ.

“Orang Melayu di sini dapat melihat bagaimana Tok Mat (calon BN di PRK Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan) seorang yang menjaga semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, dia bantu semua jadi tidak perlu bimbang,” jelasnya.

Selain itu, Shukri turut membidas kempen saat akhir yang dimainkan oleh PH iaitu menyerang peribadi calon.

“Taktik ini memang kita sudah jangka sebab itu satu demi satu isu berkaitan peribadi Tok Mat mula timbul dengan tujuan nak timbulkan keraguan pengundi.

“Sebenarnya segala isu sudah dijawab. Rakat sudah cerdik, sekadar memburukkan orang tidak boleh menyelesaikan masalah rakyat. Rakyat tahu, sekadar burukkan orang juga tidak akan jadikan rakyat sejahtera.

“Jadi, PH janganlah ghairah nak tambah kerusi atau tambah kuasa kerana sepatutnya mereka harus muhasabah bagaimana hendak bantu rakyat yang mengeluh kos sara hidup makin tinggi, jangan jadi macam lagu ‘bangau oh bangau’ yang hanya salahkan orang lain tapi kerja hakiki tak buat,” bidas beliau.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakob melahirkan keyakinan Tok Mat bakal menang di PRK Rantau kerana para pengundi di sini melihat jasa Tok Mat selama ini.

“Orang Rantau tidak kira bangsa melihat kepada jasa-jasa Tok Mat. Contohnya di Rantau ini, kuil lebih banyak daripada masjid… ini bermaksud Tok Mat membantu tidak kira bangsa.

“Maka saya yakin momentum kemenangan di Cameron Highlands dan Semenyih bakal diteruskan di Rantau,” ujar beliau. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.