Tok Mat Ada Rekod Cemerlang, Yang Menang Sekarang Hanya Tumpang Rekod Tok Mat – Presiden PAS


REMBAU, 12 April – Prestasi cemerlang calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjadi Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan dan wakil rakyat di kawasan tersebut adalah bukti mengapa beliau mesti dipilih, ujar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perkhidmatan Mohamad yang menyantuni rakyat serta menjaga kepentingan mereka melangkaui batasan agama, kaum dan tanpa memilih kasih adalah bertepatan dengan apa yang disarankan oleh agama, katanya.

“Islam bukan mengenepikan kaum Cina, India dan lain-lain. Kerana dominasi kawasan ini ialah Melayu Islam apabila beliau menjadi wakil rakyat, beliau menjadi wakil kepada semua.

“Beliau telah menunjukkan kebolehannya menjadi menteri besar. Berjaya meningkatkan ekonomi, kewangan Negeri Sembilan. Puak-puak Pakatan Harapan (PH) yang menang ini tumpang apa yang dia kumpul dulu.

“Ada orang mari bersyarah kata Tok Mat (Mohamad) tak buat apa… janganlah cakap melampau sangat:, tegasnya lagi.

Abdul Hadi berkata demikian di hadapan ribuan orang yang hadir di ceramah perdana di Taman Angsamas, di sini malam tadi.

Turut hadir, calon BN, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker; ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO dan kepimpinan rakan-rakan parti BN seperti KIMMA, IPF, Makkal Sakti dan PAS.

Tambah Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang juga, rakyat kini semakin merasa keperitan hidup kesan daripada pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ternyata gagal menunaikan janj-janji manifesto mereka.

“Pilihan raya bukan perkara main-main. Sebab berlakunya (perubahan tampuk pemerintahan) Pilihan Raya Umum 14 baru-baru ini kerana berlakunya anggapan pilihan raya main-main (sekadar mencuba yang baharu).

“Percaya pada (fitnah) Facebook, WhatsApp, janji nak buat itu nak buat ini, nak turun harga minyak dalam masa 24 jam, tol nak dihapuskan, PTPTN nak dihapuskan macam-macam. Buat janji-janji yang mustahil dibuat.

“Mereka (PH) menang… berlakunya harga barang melambung, kehidupan (rakyat) semakin susah, kemudian baru sedar mengapa jadi begini… buah salak buah kedondong, dipungut dikumpul dalam baldi, bukan salah ibu mengandung, silap pangkah undi,” katanya lagi.

Justeru pesannya, khusus kepada pengundi di kawasan DUN Rantau bahawa mengundi dalam memilih pemimpin bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan.

“Mengundi ni bukan suka-suka, main-main… mengundi ini untuk menjadi wakil empat tahun dan merancang untuk anak-cucu akan datang.

“Dengan sebab itu hati-hati mengundi tunaikan tanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam ucapannya Abdul Hadi turut menyampaikan tiga rangkap pantun.

“Sila mengundi dengan cermat, kalau rosak nanti gugur, pilihan kami Datuk Mat, hebat menasihat cekap menegur.

“Kalau rosak jadi gugur, pendiriannya pula tidak tegap, pilih yang hebat dapat menegur, jangan memilih cakapnya gagap.

“Pendirian pula tidak cekap, semua dibawa jatuh bertabur, kalau pilih hujahnya gagap, nanti menyesal sampai ke kubur.” – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.