Rakyat Rantau Duta BN, Signal Kepada PH Jangan Angkuh


REMBAU, 12 April – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menyeru mereka yang hadir dan memenuhi Ceramah Perdana sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sebagai duta Barisan Nasional (BN) dalam usaha meyakinkan pengundi untuk mengundi Tok Mat Sabtu ini.

“Yang penting perjumpaan hari ini kita ada beberapa jam sahaja untuk PRK DUN Rantau. Mereka yang hadir perlu menjadi duta BN.

“Kalau orang daripada pihak lawan daripada Johor, Kedah boleh berkhemah di DUN Rantau untuk membantu kempen PH di DUN Rantau, orang-orang kita di Rantau hubungi saudara-mara sampaikan mesej bahawa Tok Mat bukan individu sebaliknya beliau adalah institusi BN”, katanya.

Justeru beliau memohon dan merayu agar mesej betapa pentingnya kemenangan BN di Rantau disampaikan.

“Pastikan kita sampaikan mesej… kemenangan Rantau amat penting… kita mempunyai seorang pemimpin yang sebelum ini ketika menjadi MB membela nasib semua kaum tanpa mengira kedudukan serta status. Inilah satu-satunya negeri yang membina sekolah Tamil terbaik di Malaysia.

“Maka saya harap tempoh beberapa jam ini cukup penting dan hadiahkan kemenangan kepada calon yang kita sayangi dan sanjungi, Tok Mat untuk kepentingan penduduk Rantau dan Negeri Sembilan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Kempen PRK DUN Rantau, di Tapak Pasar Malam Angsamas, di sini Khamis malam.

Ceramah berkenaan turut menampilkan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Saravanan turut melihat ceramah sepentas UMNO, PAS, MIC serta MCA bukan sahaja sebagai sejarah malah beliau yakin barisan itulah akan bersama-sama dengan rakan-rakan pembangkang lain akan menjadi penyelamat kepada rakyat dan negara ini.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker pula berkata sudah tiba masanya pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan sepenuhnya kepada soal pentadbiran negara dan seterusnya membantu rakyat.

“Sudah tiba masanya pemimpin PH kurangkan bercakap…kurangkan provokasi..kurang adu domba dan tadbirlah negara dengan baik dan buatlah keputusan dengan jitu dan bukannya ‘u-turn’ satu demi satu dan salahkan BN terhadap masalah yang mereka timbulkan.

“Peluang yang diberikan untuk mereka mentadbir bukanlah untuk mencari masalah serta mengaibkan pemimpin atau menyusahkan rakyat. Yang kita mahu lihat adalah kepimpinan negara mentadbir dengan lebih efisien,” ujarnya.

Jelasnya lagi dalam tempoh setahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU), malah selepas kemenangan mereka pada PRK terdahulu, kerajaan dilihat semakin berani dan tidak melihat perasaan rakyat.

“Oleh kerana rakyat bersabar, dan menang pula pada PRK terdahulu, mereka semakin angkuh dan semakin berani serta tidak mengendahkan perasaan rakyat. Inilah apa yang berlaku dan dalam masa setahun sahaja mereka menunjukkan ‘the selfishness’.

“Dan harapan rakyat masih lagi melihat sebulan demi sebulan menteri-menteri kita untuk sedar dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih bersungguh-sungguh,” tambahnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.