Pengalaman Berkempen Di Rantau Berbeza, Pengundi Tanpa Segan Silu Mengaku Orang Tok Mat

REMBAU, 12 April – Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said melihat kempen-kempen yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau seolah-olah meletakkan diri mereka sebagai pembangkang apabila kempen mereka lebih kepada soal peribadi.

Menurut beliau sepatutnya sebagai kerajaan, mereka perlu berkempen dengan menawarkan apa yang ingin dilaksanakan untuk rakyat khususnya di DUN Rantau, namun sebaliknya pula yang berlaku.

“Kerajaan hari ini masih tidak meletakkan dalam keadaan diri mereka yang sebenar. Sepatutnya sebagai kerajaan mereka perlu berkempen kepada rakyat apa yang ingin mereka tawarkan kepada rakyat, tetapi mungkin mereka sedar bahawa mereka telah banyak membohongi rakyat maka mereka tidak sanggup lagi menawarkan apa-apa di Rantau ini selain daripada menyerang Tok Mat.

“Jadi strategi mereka buat ini lebih kepada mereka sebagai pembangkang dan Tok Mat seperti biasa sebagai tokoh yang hebat sentiasa tenang walaupun diserang macam mana sekalipun, beliau berwibawa untuk menghadapi segala tohmahan dan saya yakin rakyat Rantau lebih mengenali Tok Mat berbanding serangan-serangan peribadi yang dibuat,” katanya.

Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan walkabout di Pasar Malam Sendayan bersama jentera tempatan yang lain.

Zaidi seterusnya menambah pengalaman berkempen PRK DUN Rantau merupakan satu sejarah berbanding dengan beberapa PRK yang diadakan sebelum ini apabila penduduk yang ditemui secara terang-terangan mengakui mereka menyokong Tok Mat yang juga calon BN.

“Ini kali pertama dalam sejarah beberapa PRK yang saya turun membantu bersama jentera, kita melihat suasananya cukup berbeza sekali dengan penerimaan masyarakat kepada Tok Mat selaku calon BN pada kali ini.

“Ketokohan beliau sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, jasa dan budi beliau kepada rakyat Rantau saya lihat telah dipaparkan kembali oleh majoriti rakyat yang kita temui kebanyakannya mengakui secara terbuka mereka adalah orang Tok Mat.

“Ini satu suasana yang berbeza kerana kita sedar hari ini Tok Mat adalah mewakili parti pembangkang dan kebiasaanya orang akan mengaku sebagai penyokong kerajaan tetapi apa yang berlaku di Rantau ini adalah sebaliknya. Ini bermakna mereka memberi isyarat yang jelas kepada kerajaan bahawa mereka menentang dan tidak menyukai kerajaan yang ada hari ini.

“Dan ini juga satu petanda yang sangat positif kepada pihak pembangkang bahawa tindakan kerajaan selama ini dalam sepuluh bulan menunjukkan rakyat telah mula sedar untuk memprotes segala tindakan yang mereka buat,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.