Kempen Bakal Labuh Tirai, Pengundi Harap Tok Mat Diberi Kepercayaan Untuk Rantau

REMBAU, 12 April – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bakal melabuhkan tirainya tepat jam 12 malam ini dan pengundi di kawasan berkenaan akan membuat pilihan esok.

Selama 14 hari tempoh berkempen yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Barisan Nasional (BN) yang meletakkan penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dilihat cukup giat berkempen siang dan malam berjumpa dan bertemu dengan pengundi di sekitar Rantau. Tidak ketinggalan, Pakatan Harapan (PH) turut berkempen dengan tokoh-tokoh besar mereka dilihat bersimpang siur turun ke Rantau.

Dalam menyelami isi hati pengundi setempat, beberapa penduduk yang merupakan pengundi ditemui secara rawak dalam usaha melihat dan mengetahui secara dekat senario menjelangnya Sabtu ini.

Seorang peniaga pasar malam,  Mohd Azri, 42 berpandangan PRK Sabtu ini memberi peluang kepada pengundi untuk masing-masing membuat pilihan siapakah yang akan dipilih sebagai wakil rakyat untuk DUN Rantau.

Bagi beliau yang telah lama menetap di Rantau, ketokohan dan karakter ‘sempoi’ Tok Mat tidak ada tolak bandingnya dan Tok Mat sebagai wakil rakyat yang bukan sahaja mudah didekati malah sentiasa menolong penduduk setempat.

“Sangat kenal Tok Mat… ‘sempoi’ dan kita peniaga tidak ada masalah. Penduduk Rantau boleh berniaga… Tok Mat galakkan kita berniaga… lesen tidak diperlukan pun. Pilihlah mana yang terbaik. Kita sokong beliau… Jasa kepada penduduk Rantau ini cukup banyak. Bantuan dan khidmatnya bukan sahaja tidak pilih bulu malah semua bangsa yang datang minta tolong dengan beliau akan dibantu.

“Dengan karakternya yang ‘sempoi’ kita tidak kekok… kenduri kalau dijemput beliau akan datang. Inilah pemimpin yang kita mahu yang sentiasa dekat dan bersama  dengan rakyat. Nak pilih yang tinggal jauh buat apa… habis mengundi dia dah tak ada kat sini. Tok Mat orang sini… menetap pun di sini malah beliau pun bersekolah di sini dahulu.

“Walaupun sebelum ini beliau sebagai Menteri Besar, tidak ada jarak beliau dengan penduduk setempat. Saya sendiri telah berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan bantuan pada tahun lepas. Alhamdulillah,” katanya kepada UMNO-Online, dalam tinjauan khas.

Sementara itu, Puan Azura Baha daripada Kampung Linsum yang merupakan anak jati Rantau turut sependapat bahawa karakter Tok Mat bukan sahaja sempoi malah mudah didampingi dan didekati oleh sesiapa pun tidak mengira latar belakang.

“Itu yang pelik ada segelintir orang yang cakap Tok Mat rasis… dari segi apa beliau rasis. Saya tengok beliau terbaik untuk India, Cina dan sebagainya. Semuanya dibantu. Kalau bercakap soal infrastruktur, dulu Rantau tidak macam ni… kejap-kejap banjir dan sejak Tok Mat jadi wakil rakyat dah kira oklah… dengan pembangunan yang ada seperti kedai-kedai… peniaga kecil boleh berniaga … saya yang memang asal sini akan undi Tok Mat lah.

“Saya pun pelik dengar macam-macam… kata balai bomba tidak siap sedangkan balai bomba berkenaan sebelum PRU-14 dah siap dibina. Begitu juga Hospital Rembau sebelum PRU-14 dah ada. Masa Tok Mat jadi MB Negeri Sembilan dah lengkap,” ujarnya.

Ujar beliau lagi masa Tok Mat Menteri Besar Negeri Sembilan, peniaga bukan sahaja tidak diganggu malah menggalakkan penduduk untuk berniaga dengan syarat menjaga kebersihan serta tidak menggangu keselamatan dan sebagainya.

Bagi Mohd Zahuri Ruhaiza, 40, yang merupakan seorang peniaga perabot menyeru pengundi-pengundi terutama belia yang berada di luar Rantau agar pulang pada Sabtu ini untuk mengundi pada hari pembungan undi nanti.

Tanpa segan silu beliau yang merupakan salah seorang anak jati Rantau menyeru agar mereka yang pulang mengundi nanti memberikan undi kepada Tok Mat.

“Saya menyeru belia-belia muda yang boleh mengundi yang mana berada di luar Rantau agar balik pada Sabtu ini untuk mengundi Tok Mat. Beliau seorang pemimpin yang berkaliber, rendah diri dan mesra kepada rakyat serta boleh menunaikan janji… 13 April ini kepada semua yang berada di luar kita balik undi Tok Mat dan bagi beliau menang besar,” katanya.

Dalam pada itu, Puan Hamidah pula berharap dengan segala kemudahan, segala kebaikan dan segala kebajikan yang telah dilaksanakan selama ini, janganlah disia-siakan peluang pada Sabtu ini untuk membuat pilihan yang tepat.

“Saya sangat berharap dengan segala kemudahan, segala kebaikan dan segala kebajikan yang dijaga oleh Tok Mat jangan disia-siakan. Bukan senang untuk mencari pemimpin sebegitu. Memang pemimpin datang dan pergi dan memang Tok Mat menang tidak akan merubah pola kerajaan negeri, namun akan merubah keadaan… keadaan yang terhimpit sekarang ini pun semua dah rasa. Beliau adalah pemimpin yang telus, pemimpin yang jaga kebajikan segala rakyatnya,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.