Hina Agong: UMNO Jerantut Buat Laporan Polis


KUALA LUMPUR, 12 April – UMNO Bahagian Jerantut hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun facebook Sabah Sarawak Merdeka yang didakwa memuat naik gambar menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ketuanya Datuk Nazri Ngah berkata, tindakan tersebut adalah sesuatu yang biadap dan menghina institusi Raja-raja Melayu.

“UMNO bahagian Jerantut mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang bertindak biadap sebegini. Justeru, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pihak yang berkaitan.

“Ingin saya nyatakan di sini, UMNO bahagian Jerantut dan seluruh masyarakat berdiri penuh dan menyokong Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Selain itu, Ibu Pejabat UMNO turut menafikan terlibat atau mempunyai apa-apa kaitan dengan laman Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang dikesan menggunakan nombor telefon rasmi Ibu Pejabat UMNO.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, Ibu Pejabat UMNO tidak pernah mempunyai atau memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mewujudkan laman Facebook atau apa-apa media sosial berkaitan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.