Hasut Dan Fitnah: Wajah Rasis Dap Terserlah Dalam Ucapan Kempen Kulasegaran Di Rantau

KUALA LUMPUR, 12 April – “Nampaknya Menteri Sumber Manusia, YB M. Kulasegaran masih tidak belajar dari insiden yang lepas,” tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah mengingatkan kepada beliau tahun lepas agar tidak menjolok sarang tebuan namun beliau tetap bersikap rasis dan masih angkuh bermain dengan sentimen perkauman demi meraih undi dan terlalu kehausan kuasa.

Terbaru, tular ceramah Kulasegaran sempena kempen PRK N27 Rantau di hadapan pengundi-pengundi berbangsa India yang penuh dengan kata-kata berbaur rasis, perkauman melampau dan fitnah.

“Disebalik menggunakan Bahasa Tamil, YB Kulasegaran menuduh bahawa bangsa Melayu telah mendiskriminasi orang-orang India. Beliau dengan jelas menghasut masyarakat India dan mencetuskan sentimen kemarahan orang India terhadap orang Melayu dengan memberi tanggapan negatif layanan orang Melayu terhadap orang India di Malaysia selama ini,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Katanya, Kulasegaran juga memfitnah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Muhamad Hasan atau Tok Mat dengan mendakwa Tok Mat tidak menghiraukan akan nasib penduduk Rantau berbangsa India.

“Menteri Dap itu juga tergamak mengaitkan Raja Permaisuri Agong di dalam ceramah rasisnya yang ternyata menyerlahkan lagi sikap Dap yang jelas tidak menghormati kedaulatan Institusi Raja-raja Melayu yang menaungi negara kita.

“Fitnah melulu atau hujah-hujah rasis yang datang dari seorang pemimpin tertinggi Dap dan anggota Kabinet ini sebenarnya menunjukkan wajah sebenar rasis Dap yang mendominasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Justeru, beliau menegaskan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Kulasegaran segera diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan kerana menghasut, menfitnah dan memainkan sentimen perkauman yang melampau.

“Pada masa sama Pemuda UMNO meminta pihak Polis DiRaja Malaysia agar segera membuka kertas siasatan terhadap pemimpin utama Dap ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.