Ceramah Perdana: Tok Mat, Haji Hadi, Lian Ker Dan Saravanan Sepentas Malam Ini Di Rantau


REMBAU, 11 April – Ceramah Perdana sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau malam ini bakal menampilkan pimpinan utama barisan pembangkang.

Bertempat di Tapak Pasar Malam Angsamas, Calon Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan akan bergandingan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Mohamad dalam sidang medianya pagi tadi di Bilik Gerakan Utama BN di sini berkata:

“Ini merupakan satu majlis di mana agendanya mahu menyatupadukan, memberitahu masyarakat di luar bahawa inilah hasrat kita untuk menjadi satu gabungan parti pembangkang bukan sahaja Barisan Nasional tapi dengan PAS dan NGO-NGO (badan bukan kerajaan) serta parti-parti yang bergabung dengan Barisan Nasional.”

Ceramah berkenaan diadakan sehari sebelum kempen PRK DUN Rantau melabuhkan tirainya Jumaat malam.

Siri kempen berkenaan merupakan acara kemuncak kempen BN yang memasuki saat-saat akhir tenpoh berkempen.

Inilah masanya untuk rakyat khususnya penduduk Rantau mendengar dan melihat dengan lebih dekat ucapan daripada pimpinan barisan pembangkang.

UMNO-Online akan turut menyiarkan secara langsung (Facebook Live) ceramah berkenaan menerusi medium Facebook. – MediaUMNO