Tak Ada Apa-apa Nak Dibanggakan Dengan Kerajaan PH – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 11 April – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada apa-apa yang dibanggakan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini apabila kemelut ekonomi negara terus menerus menjunam.

Beliau menjelaskan kerajaan sepatutnya menjaga rakyat dan memenuhi segala janji yang di tawarkan dahulu namun tidak nampak perubahan semenjak PH mentadbir negara ini.

“Kerajaan PH gagal membuktikan sebagai kerajaan yang baik dari segi memenuhi janji, menjaga kebajikan rakyat, kos kehidupan terus meningkat dan harga komoditi terus jatuh.

“Kehidupan rakyat semakin susah, hutang negara semakin bertambah, ekonomi semakin menjunam dan dari politik juga tidak stabil,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu turut meminta kerajaan PH membuktikan sebagai kerajaan yang lebih baik dari kerajaan terdahulu.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan PH yang akhirnya bersetuju menerima pandangan dari pihak pembangkang untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dari blok terbabit iaitu Datuk Noraini Ahmad.

Oleh itu katanya, semua ahli pembangkang termasuk dalam PAC tidak akan memprotesnya lagi.

Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada PH yang bakal meraikan ulang tahun pentadbirannya.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka kerana akan menyambut ulang tahun yang pertama dan rakyat harapkan reformasi mereka berjaya,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.