Rakyat Rantau Jangan Persiakan Kebolehan, Ketokohan Tok Mat – Presiden MCA

REMBAU, 11 April – “Dari Rantau sampai ke Sikamat, mencari insan namanya Tok Mat, semoga Tuhan mencucuri rahmat, undi BN Tok Mat negeri selamat,” ujar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Justeru itu katanya, rakyat di Rantau diminta jangan mempersia-siakan ketokohan serta keistimewaan pemimpin yang ada di kawasan tersebut.

Tambahnya, jika di peringkat Parlimen rakyat mempunyai Khairy Jamaluddin yang sentiasa berbahas di Dewan Rakyat dengan amat baik di samping berpengalaman sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, begitu juga di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dikekalkan Datuk Seri Mohamad Hasan, calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau di dalam sidang DUN.

“Kita perlu ada pembangkang yang kuat. Tok Mat sudah 14 tahun berpengalaman menjadi menteri besar. Gandingan Khairy dan Tok Mat cukup baik kerana kedua-dua mempunyai ilmu dan berupaya untuk membantu rakyat.

“Kita kena letak seorang ketua pembangkang yang bermaya, yang mampu memantau kerajaan pada hari ini.

“Sebab itu kita tengok pengalaman Tok Mat ini lebih daripada layak dia tahu selok-belok (pentadbiran negeri), macam mana dulu tak naikkan cukai pintu dan inilah yang sepatutnya dilakukan oleh Tok Mat sebagai pembangkang untuk manfaat rakyat,” katanya ketika berucap di Ceramah Muafakat Rakyat di Bandar Sri Sendayan, di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden KIMMA Datuk Syed Ibrahim Kader; Naib Presiden IPF Datuk S Visvanathan; Naib Presiden Makkal Sakti, Datuk V Saravanakumar dan Pemangku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Haji Rafiei Mustapha.

Oleh kerana itu tambah Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, rakyat perlu memberi kepercayaan penuh kepada Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat untuk berada di sidang DUN Negeri Sembilan sebagai semak dan imbang terhadap prestasi kerajaan negeri.

“Berdasarkan situasi politik sekarang, kita tidak boleh memberikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kekuatan. Sebab apa? Sebab mereka selama ini telah menghampakan rakyat.

“Tengok, berapa hibah (Tabung Haji) yang dapat? Saya rasa hiba tau… kita nak terasa kerajaan terasa habanya,” tegasnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Wee turut menceritakan pengalamannya semalam ketika di dalam Dewan Rakyat yang mempertikaikan Rang Undang-undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 kerajaan PH yang akan mengenakan caj kepada penumpang penerbangan tetapi dalam 65 fasa RUU tersebut langsung tidak dijumpai satu perkataan penerbangan dan lapangan terbang.

Sebagai anak kelahiran Melaka negeri yang terkenal dengan pantun, Wee yang fasih berbahasa Melayu turut mengakhiri ucapannya dengan serangkap pantun.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.

Bagi Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader yang senada dengan Wee berkata, Timbalan Pengerusi BN itu jika diberi tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang pasti akan bersuara membela kepentingan rakyat dengan mempersoalkan sikap kerajaan Negeri Sembilan kini yang tidak menjaga kebajikan rakyat.

“Sekarang ini kerajaan hanya tahu mahu menaikkan cukai, menekan rakyat. Saya tidak faham mengapa rakyat yang mengundi mereka hingga mereka mampu menjadi kerajaan, tetapi kini mereka tidak memikirkan kebajikan rakyat.

“Kerajaan Pakatan Harapan yang tidak ada harapan ini janganlah kita undi mereka,” tambahnya.

Dalam majlis yang sama, Pemangku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Haji Rafiei Mustapha berharap kerjasama UMNO dan PAS akan menjadi semakin mantap dan pada PRU-15 nanti akan dapat dituai hasilnya.

“Amat penting peranan kita… dengan penyatuan ummah ini saya nampak ia adalah merupakan satu langkah permulaan dan yakinlah ia akan membawa satu kejayaan yang besar.

“Kita tentu mengharapkan biarlah kerjasama ini akan menjadi semakin mantap dan akhirnya pada PRU-15 kita akan dapat menuai hasilnya,” katanya.

Bekas pengetua dari sekolah berprestasi tinggi itu turut menyeru pengundi Rantau pada 13 haribulan nanti memberi undi kepada Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.