PRK Rantau: “Semestinya Undi Nombor Satu La Ya….” – Tok Mat


REMBAU, 11 April – “Ini semestinya undi (calon) nombor satu la ya… beri peluang kepada saya,” pesan Tok Mat.

Esok, Jumaat tepat jam 11.59 malam merupakan hari terakhir berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Sehubungan itu, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Mat memohon pengundi termasuk pengundi luar menunaikan tanggungjawab keluar mengundi pada 13 haribulan, Sabtu dengan memilihnya sebagai wakil di DUN Rantau.

Semasa hari penamaan calon 30 Mac lalu, pegawai pengurus PRK Mohd Nizam Tajul Urus mengumumkan Mohamad dicalonkan sebagai calon nombor satu antara empat calon yang layak bertanding yang dibuat secara undian.

Ini secara tidak langsung, nama Mohamad berada di tempat teratas di dalam kertas undi.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN menyeru pengundi tidak terpedaya dengan khabar angin yang mengatakan BN sudah menang besar dan tidak perlu keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Ada cakap-cakap, berita-berita kata BN menang besar. Saya yakin ini adalah ‘reverse psychology’ dari pihak tertentu untuk memberikan satu gambaran bahawa pengundi luar tak perlu balik.

“Ini satu cara mereka untuk menjejaskan peluang saya untuk orang balik mengundi saya… Saya harap supaya kita jangan termakan dengan kempen-kempen bahawa BN akan memang selesa.

“Setakat ini saya masih katakan lagi bahawa peluang (menang) masih lagi 50-50 dan jentera BN perlu bertugas dan berusaha sehinggalah saat terakhir pukul 5.30 petang pada 13 hari bulan,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Gerakan Utama BN, di sini hari ini.

Mohamad juga amat berharap pengundi luar yang mewakili lebih 30 peratus dari keseluruhan pengundi Melayu bagi DUN Rantau ini pulang mengundinya.

“Saya mohon semua pengundi-pengundi dalam DUN Rantau supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing mengundi pada 13 hari bulan khususnya kepada pengundi yang berada di luar DUN Rantau.

“Walaupun jauh saya harap saudara-saudari, tuan-tuan, dan puan-puan sekalian balik untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di setiap pusat mengundi yang telah ditetapkan,” rayunya lagi.

Mengenai kempen BN, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden itu amat berpuas hati dengan kempen secara bersepadu; ‘Team Tok Mat’ di mana ia memberi kesan amat positif di samping penglibatan yang amat baik dari semua parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan rakan-rakan BN Makkal Sakti, IPF, KIMMA dan juga PAS. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.