Golongan Muda Mampu Lihat Kebenaran – Zahid

SEREMBAN, 11 April Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kerajaan agar tidak merendah-rendahkan anak muda kerana golongan itu mampu melihat kebenaran.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut yakin golongan muda akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Wahai kerajaan, saya nak ingatkan kamu anak-anak muda terutama berumur 40 tahun ke bawah, kebanyakan mereka menentang arus.

“Sekarang ini kami pembangkang. Kami dianggap sebagai penentang arus. Cubalah bawa ke Parlimen, pinda perlembagaan turunkan umur pengundi kepada 18 tahun. Insya-Allah mereka akan bersama dengan BN.

Cubalah cabar. Jangan ingat anak-anak muda bodoh,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Taman Angsamas, Mambau, Negeri Sembilan malam tadi.

Ceramah itu merupakan yang pertama disampaikan oleh beliau sepanjang kempen PRK Rantau yang bermula pada 30 Mac lalu.

Beliau seterusnya mendakwa menerima kedatangan berbondong-bondong anak muda yang menemuinya agar mengambil alih semula tampuk pemerintahan kerajaan.

“Selama ini dalam PRU bertubi-tubi fitnah, tohmah, cerita tak benar dilontarkan kepada rakyat terutama golongan muda.

“Mereka termakan. Mereka percaya dan mereka terpengaruh. (Umur) 21 tahun nak turun ke 18 tahun usia pengundi. Buatlah! Saya tahu nak pinda perlembagaan kena ada 148 undi. Semalam pun tak cukuplah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas kegagalan kerajaan dalam mendapatkan majoriti dua pertiga selepas semasa perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Rang Undang-undang Persekutuan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat pada Selasa.

“Patutnya apabila melibatkan perlembangaan terutamanya negeri yang merdeka, DUN di negeri berkenaan dalam Persekutuan Malaysia hendaklah bersidang dulu.

“Dibahas dan bila dapat kemenangan, barulah diangkat kepada Yang Dipertua negeri. Bila sudah diperkenan, dibawa ke Dewan Rakyat sebelum ke select committee dan baru dibawa ke perbahasan dan pembentangan,” katanya.

Sementara itu, beliau mengaku berpuas hati dengan kredibiliti Datuk Seri Mohamad Hasan menjalankan tugas menjaga parti selama ketiadaannya hampir 100 hari.- Astroawani

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.