Yang Mengadu-domba, Yang Mencucuk Jarum Takut Penyatuan Ummah UMNO-PAS
REMBAU, 10 April – “Saya yang berpoluk dongan Datuk Hadi (Abdul Hadi Awang), saya yang ‘cium-cium mulut’ dengan dia, Lim Kit Siang dengan Lim Guan Eng marah apa pasal? Dia lak mimpi tengahari apa pasal? Sebab takut… sebab selama ini mereka berjaya mengadu-domba, mencucuk jarum untuk memecahkan orang Melayu dan orang Islam,” ujar Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, agenda penyatuan ummah mesti direalisasikan kerana ia agenda menyatupadukan rakyat di negara ini.
“Kita mesti buat agenda penyatuan ummah. Ini agenda menyatupadukan rakyat. Orang Melayu dan Islam khususnya bersatu padu negara akan aman damai dan orang bukan Islam jangan risau.
“Yang risau Dap… dia kata kita bersatu padu, kerjasama PAS dan UMNO sebagai ‘declaration of war.’.. siapa pula yang nak pergi perang, kita bukan perang sesiapa kita nak bersatu padu untuk menstabilkan politik tanah air.
“Ada pula kata (kerjasama UMNO PAS) nak jadikan negara Taliban. UMNO dah lama mentadbir bersama Barisan Nasional (BN) termasuk juga dengan PAS sekejap satu penggal. Tiada pun Taliban bahkan kita tangkap kader-kader Daesh dan Alqaeda,” katanya dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Calon BN di Kampung Sega, di sini, malam tadi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Turut hadir Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali; bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Subramaniam dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek.
Tambah Mohamad yang juga calon BN PRK DUN Rantau, begitu juga dengan pentadbiran kerajaan PAS di negeri Kelantan yang mempunyai toleransi agama yang cukup tinggi.
“PAS pula lima penggal mentadbir Kelantan. Ada ke Taliban di Kelantan? Orang-orang Cina, Tionghua, India dan Siam hidup aman damai di Kelantan.
“Ini jelas menunjukkan bahawa PAS mengamalkan toleransi beragama yang amat tinggi.
“Ini jelas (Dap) mahu menakut-nakutkan orang kerana dia tahu bila UMNO dan PAS bekerjasama yang nombor satu kalah ialah dia. Pilihan raya umum kelima belas, kita akan tentukan kita menang, InsyaAllah,” tegasnya lagi.
Tok Mat juga berharap agenda penyatuan ummah yang sedang direncanakan akan menjadi kenyataan.
“Saya harap supaya agenda penyatuan ummah yang saya nak hidangkan kepada negara kita akan jadi kenyataan.
“Tetapi biarlah pokok ini tumbuh elok-elok kita pupuk sama-sama, suburkan sama-sama, letak baja kita siram elok-elok jangan pokok yang baru nak hidup ini kita cantas atau kita patahkan pucuknya.
“Jangan kita nak fikir nak makan buahnya. Orang tua-tua dulu tanam pokok dia tak kata dia nak makan tapi nak bagi anak cucu makan. Kita sekarang ini tanam pokok yang dah ada buah, esok pagi dah nak makan sendiri,” pesannya. – MediaUMNO