Cadang Bubar DUN Johor Untuk Elak Kemelut Berpanjangan


JOHOR BAHRU, 10 April – Bendahari UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday mencadangkan agar DYMM Tuanku Sultan Ibrahim untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor bagi membolehkan pilihan raya baru dibuat.

Katanya, dalam konteks Malaysia Baharu yang digembar-gemburkan oleh Pakatan Harapan (PH) seharusnya mementingkan rakyat dari soal politik semata-mata.

“Saya yakin, persaingan sihat dalam Pilihan Raya Umum Negeri, akan memberikan ruang kepada PH menjelaskan hala tuju kerajaannya, di samping Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menawarkan gagasan barunya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang, kemelut pentadbiran Kerajaan Negeri Johor telah bermula sejak perlantikan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor.

“Ramai yang mempertikaikan kebolehan beliau mentadbir kerajaan negeri berasaskan kepada latar belakangnya sehinggalah akhirnya mengakui sendiri tidak menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

“Beliau juga tidak dapat menunjukkan dengan jelas hala tuju pentadbirannya dan gagal membuat pertimbangan yang tepat dalam menguruskan pentadbiran kerajaan, termasuklah menangani tragedi Pasir Gudang baru-baru ini.”

Katanya, semua perkara itu menyebabkan seluruh rakyat Negeri Johor gelisah kerana pimpinan negeri dilihat tidak ada kredibiliti langsung untuk mentadbir kerajaan yang mendapat jolokan ‘Harimau Selatan.

“Apatah lagi Johor berjiran dengan Singapura yang kecil tapi dikatakan lebih maju. Johor sepatutnya memanfaatkan ekonomi sempadan (boarder economic) supaya alirannya tidak sehala sahaja.

“Pada hari ini, Menteri Besar yang gagal itu telah melepaskan jawatannya, maka bersambunglah kemelut politik, siapa yang bakal menerajui pimpinan negeri.”
Katanya, ada pihak yang melihat, akan berlaku percaturan antara calon Tun Mahathir Mohamed dan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Calon Tun Mahathir akan menjadi ‘Yes Man’ kepada Perdana Menteri, manakala calon Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bermasalah dengan Putrajaya.

“Oleh hal yang demikian, saya dengan rasa rendah diri berpandangan bahawa DYMM Tuanku Sultan Ibrahim, Sultan Dan Yang DiPertuan Negeri Johor Serta Jajahan Takluknya boleh membubarkan Dewan Negeri Johor, mengikut Fasal 23(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, yang menyatakan; ‘Raja boleh menangguhkan atau memansuhkan dewan negeri’…”

Jelasnya, cadangan tersebut adalah berasaskan kepada:

1) Setelah 10 bulan PH menerajui Kerajaan Negeri Johor, rakyat tidak dapat melihat dengan jelas halatuju pentadbiran kerajaan negeri.

2) PH tidak mempunyai barisan Ahli Dewan Undangan Negeri sedia ada yang mempunyai kredibiliti dan pengalaman untuk memimpin kerajaan. Oleh hal yang demikian, PH boleh membariskan bakal pimpinan negeri dalam Pilihanraya Umum Negeri itu.

3) Pilihan Raya Umum Negeri juga boleh memberi peluang kepada rakyat sekali lagi untuk memilih kerajaan yang lebih diyakini.

4) Pilihan Raya Umum Negeri juga dapat membersihkan dakwaan yang kononnya pihak istana terlibat dalam politik semasa. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.