Bukan Salah BN, GPS – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR 10 April – Bukan salah Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RUU itu secara jelas tidak memberi sebarang signifikan yang berkesan kepada masyarakat Sabah dan Sarawak kerana hanya menggariskan dua kategori negeri-negeri Persekutuan.

“Apa maknanya itu? Sepatutnya tujuan pindaan RUU itu untuk memastikan kepentingan Sabah Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963, seperti perjanjian pembentukan Malaysia dulu.

“Bahkan, memorandum mengenai pindaan RUU ini sepatutnya di bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak terlebih dahulu, sebab ini kepentingan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Presiden PKR yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan BN dan UMNO kerana berkecuali hingga menyebabkan RUU tersebut gagal diluluskan di Dewan Rakyat.

RUU itu tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga apabila hanya 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu manakala 59 orang berkecuali. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.