Tabung Haji: Pemuda UMNO Sepakat Desak PH Tunaikan Janji Manifesto, Tubuh RCI


KUALA LUMPUR, 9 April – Pemuda UMNO di seluruh negara sepakat mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala dakwaan, tuduhan dan salah laku yang berlaku di dalam pengurusan Tabung Haji (TH) yang lalu.

Pemuda UMNO Negeri Kelantan dalam satu kenyataannya selain menyokong penubuhan RCI tersebut, juga mendesak Ketua Audit Negara tampil ke depan memberikan penjelasan ‘without fear and favour’ akan pendapat dan dapatan audit mereka terhadap laporan kewangan TH pada tahun-tahun yang terlibat.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan juga bersetuju dengan gesaan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa peranan Ketua Audit Negara di dalam polemik ini harus diketengahkan dan tidak disepikan seperti yang kita lihat sekarang.

“Selaku badan yang dijamin oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Ketua Audit Negara seharusnya menyatakan pendapat rasminya tanpa rasa takut kerana akaun-akaun TH pada tahun-tahun yang didakwa oleh pengurusan TH yang baru sebagai tidak mematuhi Akta Tabung Haji 1995 ini, telah diaudit dan diberikan sijil pematuhan audit oleh Jabatan Ketua Audit Negara,” kata Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor.

Manakala bagi Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah pula berpandangan penubuhan RCI amat penting supaya institusi terpenting umat Islam itu terus dilindungi dan dipertahankan dari cubaan menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan umat Islam terhadapnya.

“Pada masa yang sama, Pemuda UMNO Johor juga menyeru semua umat Islam agar tidak terpengaruh dengan saranan daripada individu-individu tidak bertanggungjawab untuk mengeluarkan simpanan TH mereka.

“Gejala ‘simpan untuk pergi haji sahaja’ yang kian tular di media sosial ini hanya propaganda untuk melemahkan TH oleh mereka yang mahukan ia gagal,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selain itu katanya, adalah menjadi satu kewajiban bagi semua pihak bersama melindungi dan mempertahankan institusi kewangan Islam itu yang terbukti telah membantu ramai umat Islam mengerjakan ibadan Haji dan membina ekonomi ummah.

Semalam, Dr Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri telah mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat segala dakwaan, tuduhan dan salahlaku yang berlaku di dalam pengurusan TH yang lalu bagi menjernihkan kekusutan masyarakat terhadap fenomena saling tuduh-menuduh dan salah-menyalah sehingga menjejaskan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap TH.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang, Mohd Fakaaruddin Ismail membidas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohammad Azmin Ali yang masih berpolitik dalam isu penubuhan RCI tersebut.

“Pemuda UMNO ingin mengingatkan Timbalan Presiden PKR itu bahawa Pakatan Harapan juga yang meletakkan janji untuk menyiasat skandal-skandal melibatkan TH, FELDA dan lain-lain sebagai Janji 100 Hari Manifesto Pakatan Harapan.

“Belum cukup 12 bulan, nampaknya Azmin Ali betul-betul ikut saranan perdana menteri bahawa ‘Manifesto Bukan Janji’ sekaligus menafikan hak rakyat untuk memperoleh pencerahan dan kebenaran yang beliau sendiri janjikan,” tegasnya.

Justeru, Fakaaruddin turut menasihati Azmin supaya tidak bermain politik murahan tetapi sama-samalah menyokong penubuhan RCI tersebut demi kepentingan dan keyakinan rakyat kepada TH, khususnya umat Islam. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.