PH Mainkan Sentimen Perkauman Untuk Tutup Kesalahan Gagal Tunai Janji, Khianati Rakyat


REMBAU, 9 April – Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berkata Pakatan Harapan (PH) sengaja mewujudkan satu suasana yang tidak harmoni antara masyarakat dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan menyentuh sentimen kaum dan agama.

Tindakan tersebut ujarnya bagi menutup kelemahan-kelemahan yang timbul antara sesama parti dalam PH, selain kegagalan menunaikan janji-janji pilihan raya.

“PH mengambil peluang untuk mewujudkan satu suasana yang tidak harmoni untuk menutup kelemahan-kelemahan yang ada pada mereka maka timbullah kenyataan-kenyataan perpaduan ummah antara PAS dan UMNO akan membawa kepada kekecohan, perselisihan dan pertumpahan darah.

“Satu kenyataan yang saya rasa sangat biadap, tidak menghormati masyarakat majmuk, keharmonian yang ada dalam negara kita sehingga pimpinan Dap mengaitkan perpaduan ini seperti keganasan yang berlaku di New Zealand.

“Timbul pula kenyataan kerjasama UMNO dan PAS akan menjadikan negara seperti Taliban. Ini satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab untuk menutup kesilapan apabila mereka mengkhianati, menipu rakyat,” katanya di ceramah pentas Pemuda di Felda Sendayan, di sini Ahad malam, julung kali menghimpunkan pemimpin muda dari parti komponen Barisan Nasional (BN) serta PAS.

Turut hadir, Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia; Ketua Pemuda MIC Pusat, Thinalan T Rajagopalu dan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Nicole Wong Siaw Ting.

Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam kesibukan jadual berkempen turut mengambil kesempatan hadir serta memberi ucapan.

Khalil turut membidas dasar kerajaan PH yang sentiasa berubah-ubah disebabkan parti-parti yang berada di dalamnya masing-masing mempunyai agenda tersendiri.

“Dalam PH, ada berapa parti.. masing-masing mempunyai hala tuju masing-masing, tidak menentu. Perdana Menteri mewakili parti antara yang paling sedikit kerusi parlimen, sedangkan Dap, PKR merupakan parti yang mempunyai jumlah kerusi paling banyak. Sudah tentulah mereka ‘demand’ banyak dan menyebabkan perdana menteri berada dalam keadaan terdesak.

“Ini menyebabkan kerajaan PH tidak stabil setiap keputusan sejak mereka memenangi pilihan raya umum lepas sehinggalah sekarang ini keputusan-keputusan yang tidak menentu, yang was-was, sekejap boleh sekejap tak boleh.

“ICERD mula-mula nak lulus kemudian batal, begitu juga Rome Statut mula-mula sudah dipersetujui kemudian tarik balik. Ini menunjukkan kerajaan yang ada hari ini, kerajaan yang tidak stabil, jadi rakyat kena bijak untuk menilai suasana politik yang berlaku hari ini,” jelasnya lagi.

Berhubung dengan PRK DUN Rantau, Khalil berkata Pemuda melalui Jabatan Amal Malaysia, Pasti dan kelab Alternative Riding Club (ARC) memberikan sepenuh tenaga bagi memastikan kemenangan Tok Mat di Rantau.

“Dan Alhamdulillah, jentera PAS dari seluruh negara, dari Pantai Timur, Utara dan Selatan mereka datang mengikut jadual berkampung di Rantau ini untuk membantu Tok Mat menang dalam PRK,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.