Apa Sudah Jadi… MP PH Sendiri Malu, Bidas RUU Levi Pelepasan 2019


KUALA LUMPUR, 9 April – Apa sudah jadi… Ahli Parlimen Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri pun malu dengan Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, RUU yang dibentangkan itu bakal memberi kesan terutamanya terhadap Jemaah Haji dan juga mereka yang ingin menunaikan umrah di masa hadapan.

“Saya ingin menimbulkan kesan yang cukup jelas iaitu jika kita luluskan levi pelepasan ini, yang akan terjejas dengan begitu ramai sekali ialah Jemaah Haji yang melakukan Haji dan umrah bermula bulan Julai dan Ogos akan datang.

“Saya ahli Parlimen dari PH… saya nak sokong RUU ini tapi ada syarat. Tentang Jemaah Haji ini, selama ini sejak merdeka rakyat mengerjakan Haji dan umrah tidak kena cukai pelepasan naik kapal terbang. Kenapa tiba-tiba sekarang? Saya malulah macam ini….

“Jadi Menteri fikir baik-baik rakyat di luar sana tak kira apa agama atau kaum. Takkanlah setahun kita jadi kerajaan, ini hadiah kita nak beri kepada rakyat Melayu?” ujar beliau dan disokong oleh ahli-ahli Parlimen di blok pembangkang.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mencadangkan perkara yang sama di dalam perbahasannya.

“Saya ingin mencadangkan supaya negara-negara ASEAN dikecualikan. Bererti rakyat Malaysia yang pergi ke negara ASEAN dikecualikan. Jika tidak berapa ratus ribu orang pergi ke Singapura tiap hari kena cukai.

“Satu lagi… kanak-kanak dikecualikan. Takkan kanak-kanak pun kena bayar? Satu lagi, warga emas, OKU, pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara. Mereka yang pergi umrah dan Haji juga dikecualikan,” katanya lagi. – MediauMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.