Statut Rom: Kenapa Dedah 4 Nama Sahaja

KUALA LUMPUR 8 April – Setiausaha Agong UMNO, Tan Sri Annuar Musa mempertikaikan tindakan sesetengah pihak khususnya penyokong kerajaan kerana hanya mendedahkan empat nama pakar undang-undang yang memberi pandangan kepada Majlis Raja-Raja berhubung Statut Rom.

Beliau mendakwa, beberapa lagi individu seperti Peguam Negara, Tommy Thomas dan pakar perundangan dan perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi turut dijemput dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan.

“Kenapa cuba buat heboh empat pakar undang-undang yang memberi pandangan mereka kepada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja.

“Kenapa tidak diceritakan perkara sebenar bahawa dalam mesyuarat yang sama AG (Peguam Negara) dijemput, menteri dijemput, Profesor Shad Faruqi dijemput.
Baginda dengar pelbagai pandangan pada mesyuarat itu,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Sejak kerajaan membuat keputusan menarik diri daripada menyertai Statut Rom pada Jumaat lalu, beberapa pihak khususnya mereka yang dilihat menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan tindakan tersebut.

Mereka turut mendedahkan empat nama pakar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan iaitu Profesor Datuk Dr. Rahmat Mohamad, Profesor Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi yang dikatakan telah mempengaruhi dalam keputusan menarik balik ratifikasi Statut Rom. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.