NGO Desak Peguam Negara Dipecat, Gagal Jaga Kepentingan Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 8 April – Sebanyak 12 NGO hari ini menghantar memorandum kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi mendesak Perdana Menteri menasihatkan Majlis Raja-Raja melucutkan jawatan Tommy Thomas selaku Peguam Negara.

Datuk Razlan Rafii yang mengetuai kesemua NGO tersebut berkata, rakyat Malaysia kini sudah hilang kepercayaan kepada kredibiliti Tommy sebagai Peguam Negara yang dianggap berat sebelah dan tidak menjaga kepentingan Perlembagaan negara.

“Kita mahu memorandum ini diserahkan kepada Perdana Menteri dan seterusnya ia harus dibawa untuk dibincangkan dalam Parlimen,” ujar beliau ketika menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil kerajaan iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Haji Jamman.

Dalam jawapan balas, Azis berkata, beliau akan memastikan memorandum tersebut sampai ke tangan Perdana Menteri selain turut menyampaikan apa yang telah diperbincangkankan bersama.

Sebelum itu, sekumpulan aktivis berkumpul di hadapan Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan Statut Rome dan menggesa Penguam Negara, Tommy Thomas dipecat tetapi dihalang untuk memasuki bangunan Parlimen.

Namun setelah berbincang, beberapa orang telah dibenarkan masuk bagi menyerahkan memorandum tersebut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.