Cukup-cukuplah Salahkan BN – Hishammuddin


REMBAU 8 April – Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti menjadikan dasar dan tindakan Barisan Nasional (BN) dahulu sebagai modal kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ketika ini.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, para pemimpin parti kerajaan perlu mengubah minda mereka dan tidak boleh lagi bertindak sebagai pembangkang sedangkan mereka mempunyai tanggungjawab sebagai pentadbir.

“Bagi kita yang pemhangkang sekarang ini kita tahu tempat kita tetapi bagi mereka adalah masa untuk mentadbir negara, cukuplah-cukuplah nak menyalahkan kerajaan sebelum ini sudah 10 bulan.

“Tok Mat bukan Menteri Besar lagi, apa yang saya tengok ini mungkin psikologi politik, yang menentukan kemenangan dan kekalahan kita adalah pengundi-pengundi di Rantau. Orang di Rantau ini tidak terikut-ikut dengan sentimen dan politik kebencian, pecah-belah dan menuding jari kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dan beramah mesra dengan penduduk di Rumah Rakyat Kuala Sawah, Kuala Sawah, Rantau semalam.

Sementara itu, Hishamuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Sembrong berkata, sepanjang aktiviti kempen dilakukan, rata-rata penduduk di Rantau amat menghargai jasa yang diberikan oleh calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kerja kita untuk meyakinkan mereka untuk keluar mengundi sebenarnya agak mudah kerana semua di sini telah mengenali Tok Mat dan saya tengok beliau berjasa tak kira warna kulit dan agama dan latar belakang.

“Apa yang saya lebih gembira dan lega ramai yang tidak terikut-ikut dengan sentimen politik semasa dan jasa Tok Mat masih lagi dihargai dan jasanya mereka tak lupa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.