Bantu Rakyat Tanpa Mengira Kaum, Agama… Rasiskah Tok Mat?


REMBAU, 8 April – Ketua Pemuda MIC Pusat, Thinalan T Rajagopalu menolak sekeras-kerasnya tuduhan segelintir pihak yang mengatakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai rasis.

Tegasnya, orang yang berpandangan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat rasis adalah orang yang singkat pemikirannya.

“Beliau telah mewujudkan kemudahan-kemudahan asas untuk semua rakyat di Rantau, bukan sahaja di Rantau tapi di seluruh Negeri Sembilan.

“Contohnya untuk orang India diberi kuil, orang Melayu ada masjid, orang Cina ada tokong, orang Kristian ada gereja. Semua pembangunan juga telah dibuat di Rantau.

“Kalau ada yang mengatakan beliau rasis, maknanya orang itu kurang cerdik. Kalau Tok Mat rasis beliau tidak akan bina rumah-rumah ibadat selain untuk orang Melayu,” ujarnya dalam ceramah sepentas Pemuda BN di FELDA Sendayan, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Nicole Wong Siaw Ting dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Calon BN, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam kesibukan jadual berkempen turut mengambil kesempatan hadir serta memberi ucapan.

Tambah Thinalan lagi, ini berbeza dengan beberapa pemimpin Dap yang jelas suka mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur rasis seperti menggelar kerjasama antara UMNO dan BN dengan PAS sebagai pengisytiharan perang kepada bukan Melayu.

“Lim Guan Eng, menteri kewangan yang telah menyebut satu perkara iaitu penyatuan oleh UMNO dan PAS boleh menjadikan pengisytiharan perang. Itu salah… kenyataan yang tidak patut dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi Dap.

“Sebab itu pada bulan Mac, Datuk Asyraf dari UMNO, Nicole dari MCA, saya dari MIC dan juga PAS telah membuat satu laporan polis terhadap Lim Guan Eng. Inilah yang dinyatakan sebagai penyatuan BN,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan PRK DUN Rantau, Thinalan menegaskan tiada sebab pengundi tidak mengundi Tok Mat, kerana jasa yang telah dilakukan oleh beliau terlalu banyak bukan sahaja kepada masyarakat di Rantau malah Negeri Sembilan keseluruhannya.

Begitu juga tambahnya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu selayaknya berada di dalam Dewan Undangan Negeri atas pengalaman serta kepakarannya dalam mentadbir negeri.

Manakala bagi Pemuda MCA Kebangsaan, Nicole Wong Siaw Ting berkata kerjasama yang semakin erat antara parti-parti komponen BN, rakan-rakan seperti IPF, KIMMA dan PAS ternyata memberi tekanan kepada kerajaan PH.

“Sebab itu kita kena kerja dengan lebih kuat dan yang penting sekali kita sama-sama teguh berpakat. Mereka (PH) berada dalam tekanan sekarang ini.

“Objektif utama kita kini hanyalah satu, iaitu bagi memastikan kemenangan Tok Mat di DUN Rantau ini.

Tambahnya juga, rakyat kini amat kecewa dengan prestasi kerajaan PH dan mereka mengharapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan BN mentadbir negara semula.

“Baru sahaja sebelas bulan memerintah, pihak kerajaan yang tiada harapan ini telah menyebabkan rakyat semakin susah.

“Jadi, kita sebagai anak muda marilah bangkit, tunjukkan semangat kita dengan memastikan saluran-saluran muda di peti-peti undi berpihak kepada kita. Jangan bazirkan undi kita dengan memilih orang yang ternyata gagal mentadbir negara,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.