Perang Poster Kian Rancak, Pengundi Luah Secara Terbuka Pangkah Tok Mat Sabtu Ini

 

REMBAU, 7 April – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memasuki hari kelapan memperlihatkan suasana yang cukup meriah.

Perang poster di sekitar kawasan DUN Rantau dipenuhi dengan bendera parti yang bertanding antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Bendera dan poster calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat berada di mana-mana malah ‘billboard’ juga turut kelihatan di kawasan-kawasan strategik sekitar DUN Rantau.

UMNO-Online yang membuat tinjauan di beberapa kawasan sekitar Rantau mendapati jentera parti terus giat memasang bendera dan juga poster Tok Mat walaupun kempen PRK tersebut hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum hari pengundian Sabtu ini.

Menyelusuri kawasan DUN Rantau termasuk di Sendayan, Bandar Ekar, Kampung Saga dan sebagainya lagi, tinjauan secara rambang dengan penduduk setempat merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna bagi kru UMNO-Online.

Ada sesetengah penduduk yang ditemui  bukan sahaja mengisytiharkan secara terbuka akan mengundi Tok Mat Sabtu ini, malah secara panjang lebar berhujah kenapa perlu menolak PH.

Bagi Aidil, 34, peniaga pasar malam di Sendayan berpandangan janji 100 hari mereka entah ke mana malah begitu juga dengan pelbagai janji lain.

“Masalah tidak puas hati sekarang janji 100 hari entah ke mana janji berkenaan. Janji kepada rakyat tidak buat. Dekat sini kita sebagai rakyat tanggung beban. Janji nak kurangkan beban rakyat tetapi tidak juga. Jadi mereka perlu buktikanlah kalau benar-benar mahu menjadi kerajaan.

“Kami hanya mengundi. Kita harap team Tok Mat menang. Tok Mat mendekati rakyat dan beliau juga berjiwa rakyat. Rakyat susah beliau mendekati dan tidak sepertimana pemimpin lain. Kewibawaan Tok Mat saya nampak. Tok Mat ambil tahu pasal rakyat dia…,” katanya.

Beliau seterusnya menempelak mereka yang membuat dakwaan bahawa Tok Mat tidak membawa pembangunan di DUN Rantau.

“Saya rasa yang bercakap itu cakap tidak serupa bikin. Cermin diri dulu sebelum cakap Tok Mat tidak bawa pembangunan di sini. Tok Mat dah ramai orang kenal… siapa dia dan jangan timbulkan fitnah selagi bukti kukuh tidak ada. Tok Mat ada kelebihan dan kebaikannya yang tersendiri,” ujarnya.

Sebagai peniaga beliau bersyukur dengan rezeki yang dianugerahkan Allah swt dan ketika ditanya mengenai sejauh mana perubahan kerajaan baharu hari ini, secara sinis sambil melayan pelanggan beliau menyifatkannya belum nampak apa-apa.

“Selepas kerajaan baru mengambil alih tidak ada perubahan. Saya tengok membebankan rakyat adalah. Janji mereka untuk bantu rakyat tetapi tidak bantu. Macam peneroka FELDA Serting, ibu bapa saya peneroka di sana… apa kes duit bantuan. Tepati janji dan jangan sekadar janji tinggal janji. Janji nak hapuskan hutang pun tidak ada… Dekat sini mereka ada janji untuk bina itu dan ini… janji lama tidak tertunai nak buat janji baru,” tambahnya.

Sementara itu, bagi seorang pengunjung pasar malam yang sama, Nur Ikhwan, 39, pula melihat Tok Mat ada kelebihan dan kewibawaan yang tersendiri sebagai wakil rakyat dan juga pemimpin politik malah beliau juga mempunyai karakter yang digemari oleh penduduk setempat.

“Kami orang muda pun suka beliau… cara beliau mengurus tadbir negeri khususnya kawasan DUN Rantau ini tidak ada sesiapa yang boleh nafikan. Beliau mudah berbicara dan mudah dalam menghulurkan bantuan.

“Ada masalah kami jumpa… nak berniaga pun kami jumpa… nak cakap macammana pasal Tok Mat ni… senang cerita beliau seorang pemimpin dan wakil rakyat yang cukup mudah. Lagi pun beliau orang di sini… tahu dan faham orang Rantau,” ujarnya.

Manakala bagi penduduk di Sendayan yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ana, 48, melihat PRK DUN Rantau memberi peluang kepada penduduk untuk membalas jasa Tok Mat yang selama ini membantu mereka.

“Inilah masanya kami nak bantu dia pula… sebelum ni kami memohon bantuan beliau. Lagi pun sepertimana yang banyak diperkatakan, Sendayan dibangunkan zaman Tok Mat. Kita pun dapat limpahan daripada pembangunan yang dibuat di Sendayan.

“Orang nak cakap pasal apa tentang Tok Mat cakaplah namun hanya kami yang berada di Sendayan ini lebih kenal batang tubuh Tok Mat. Saya nak cakap terus terang Sabtu ini saya akan pangkah Tok Mat,” katanya dengan yakin. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.