Konvoi Aman Bermotor Pemuda BN, ARC PAS Simbolik Tolak Politik Fitnah Dan Provokasi

 

REMBAU, 7 April – Konvoi bermotosikal Pemuda Barisan Nasional (BN) bersama kelab Alternative Riding Club (ARC) dari parti PAS merupakan satu manifestasi anak-anak muda menolak politik fitnah dan berunsur provokasi perkauman.

Hal demikian dinyatakan oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris ketika ditemui selepas pelepasan konvoi tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, tadi.

“Konvoi bermotor yang baru dilepaskan oleh Tok Mat, ARC daripada PAS sebanyak 90 buah dan Pergerakan Pemuda UMNO 450 buah. Ini konvoi yang aman, konvoi yang selamat dan bukan konvoi yang mahu mencetuskan provokasi.

“Jadi kita minta juga pihak di sebelah sana jangan cuba untuk cetuskan provokasi sepertimana yang berlaku semalam kain rentang yang dicetuskan untuk provokasi antara Melayu dan kaum India.

“Jadi kita harap pihak-pihak sebelah sana janganlah cetuskan perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman kaum yang ada di Malaysia ini,” kataya lagi.

Turut hadir, Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohd Zaidy Abdul Kadir serta kepimpinan parti-parti komponen.

Azri yang juga lebih dikenali sebagai Papagomo turut mengingatkan pemimpin PH terutama Presiden PKR agar berhenti daripada mengamalkan politik fitnah dengan pelbagai serangan peribadi kepada Mohamad, yang juga calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ini.

“Dan saya nak beri ingatan juga kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup-cukuplah fitnah Tok Mat, cukup-cukuplah serang peribadi Tok Mat. Datuk Seri Anwar Ibrahim kempenlah secara elok, bukan kempen politik fitnah.

“Tok Mat sepanjang kempen tak pernah burukkan calon daripada PKR, tapi kenapa di pihak PKR ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini tak habis-habis memfitnah Tok Mat Hasan, bercerita tentang serangan peribadi Tok Mat, kita minta hentikanlah serangan peribadi politik fitnah. Berpolitiklah dengan lebih baik,” tegasnya lagi.

Berhubung dengan konvoi tersebut, wakil dari ARC PAS yang mahu dikenali sebagai Cif Anuar berkata konvoi tersebut menunjukkan sokongan penuh Pemuda PAS terhadap Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat.

“Alhamdulillah, hari ini ARC bersama jentera bermotor Pemuda UMNO, dikhabarkan pada asalnya lebih kurang 300 buah motorsikal, tetapi setakat ini sahaja lebih kurang 500 buah motorsikal yang telah hadir. Difahamkan daripada Melaka masih ada yang dalam perjalanan untuk menyertai konvoi ini.

“Kita akan jelajah ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan akan selitkan program pengisian di mana kita akan pergi gotong-royong di surau Seliau dan kita juga akan membuat program jalinan kasih, Insya-Allah.

“Jadi dalam konvoi ini kita telah maklumkan solat harus dijaga, akhlak harus dijaga, adab kesopanan harus dijaga. InsyaAllah kami pemuda geng motor sokong Tok Mat. Geng motor ‘team’ Tok Mat. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.