Tohmahan Terhadap Tok Mat Perkara Biasa, PRK Cameron Highlands Pun Sama – Wan Rosdy

 

REMBAU, 6 April –  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail  percaya tohmahan dan segala perkara yang dibangkitkan oleh Pakatan Harapan (PH) terhadap calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan termasuklah dakwaan ketiadaan pembangunan di kawasan berkenaan adalah semata-mata untuk mencari undi.

Menurut beliau perkara sama digunakan oleh PH semasa PRK Parlimen Cameron Highlands sebelum ini sedangkan hakikat dan realitinya jauh tidak benar sama sekali dan itu adalah perkara biasa dan bukan satu perkara yang pelik.

“Itu perkara biasa dan dakwaan mengatakan Tok Mat tidak membangunkan Rantau adalah sama sepertimana PRK Cameron Highlands baru-baru ini yang didakwa dengan pelbagai dakwaan. Mereka juga membuat dakwaan kononnya Cameron Highlands tidak ada pembangunan sedangkan pembangunan di kawasan berkenaan berlaku dengan pesat sekali.

“Saya dapati Rantau tempat bekas MB Negeri Sembilan dan kehadiran kita adalah membantu… apa yang telah dilaksanakan di sini sepanjang Tok Mat menjadi wakil rakyat, beliau telah banyak membangunkan pembangunan fizikal di Rantau ini. Itu adalah antara sebahagian dakwaan mereka dan mereka tidak ada modal.

“Dan ini perkara yang kita dapat lihat seperti sekolah… malah kuil-kuil pun beliau bantu dan bukan sahaja Melayu malah Cina serta India pun dibantu. Saya percaya ‘mood’ yang sama akan diterjemahkan oleh pengundi nanti seperti mana di Cameron Highlands dan Semenyih,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan ‘walkabout’ di Pekan Rantau bersama jentera setempat yang lain dalam usaha membantu kempen Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat pada PRK DUN Rantau 13 April ini.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang seterusnya percaya kemenangan BN pada PRK Parlimen Cameroon Highlands dan DUN Semenyih baru-baru ini sememangnya memperlihatkan gelombang yang sangat positif kepada pengundi itu sendiri.

“Saya percaya pengundi dapat menilai selepas sepuluh bulan pemerintahan PH yang mana banyak janji-janji mereka seperti di dalam manifesto sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak dapat ditunaikan dan saya pasti ini adalah kebijaksanaan pengundi, mereka menilai apa yang dijanjikan itu tidak ditunaikan dan mereka merasakan ditipu .

“Dan kebetulan serta takdir Allah SWT ada PRK dan ini memberi peluang kepada rakyat untuk menzahirkan perasaan mereka terhadap kerajaan yang ada atas sebab-sebab tidak dapat menunaikan janji serta menabur fitnah. Pengundi  telah menterjemahkannya menerusi PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

“Saya percaya selepas kedua-dua PRK tersebut tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan PH dan saya yakin perkara yang sama akan diterjemahkan pengundi di DUN Rantau ini,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.