UMNO Selangor Desak Kerajaan Tarik Balik Perjanjian Rome Statut

KUALA LUMPUR, 5 April – Semua kepimpinan UMNO Selangor hari ini sebulat suara mendesak agar Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menarik semula perjanjian Rome Statut yang telah ditandatangani sebelum ini tanpa mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tindakan Kerajaan ini jelas mencabuli kedaulatan Negara.

“Isu ini kami anggap besar kerana ia melibatkan kekebalan Raja-Raja Melayu. Dalam Perlembagan, bila kesalahan dilakukan oleh Raja-Raja Melayu maka Perlembagaan memperuntukkan mahkamah khas bagi membicarakan jika ada kes yang melibatkan Raja-Raja Melayu tetapi dengan menandatangani Rome Statut ini, mahkamah khas tidak diperlukan lagi dan Raja-Raja Melayu terutama Yang Di-Pertuan Agong boleh dihadapkan terus ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Ini mencabuli kedaulatan negara apabila ada campur tangan asing dalam negara ini terutama melibatkan kepentingan Raja-Raja Melayu.

“Tindakan Kerajaan ini juga tanpa perkenan Raja-Raja Melayu dan ini juga dianggap melanggar Perlembagaan kerana ia jelas bertentangan dengan Perkara 38(4) yang mengatakan tiada undang-undang secara langsung boleh menyentuh keistimewaan, kedudukan kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu dan Rome Statut tidak mendapat perkenan atau dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja,” ujar beliau dalam satu sidang media di Bangunan UMNO Selangor.

Tambah Ismail, UMNO Selangor turut mempersoalkan mengapa Malaysia terburu-buru menandatangani Rome Statut ini sedangkan negara jiran yang beraja tidak menandatangani perjanjian ini termasuklah negara besar seperti US, China dan India.

Ismail turut menegaskan, satu memorandum akan dihantar kepada Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi menyuarakan hasrat membantah Rome Statut ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.