UMNO Harap Suara Palestin Akan Dibawa Dalam Parlimen

KUALA LUMPUR, 5 April – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun UMNO bukan lagi kerajaan yang memerintah Malaysia, namun beliau yakin pentadbiran baru negara ini yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) akan terus menjaga hubungan baik antara Malaysia dan Palestin.

Justeru, beliau mengharapkan apa sahaja cadangan daripada Palestin agar suara negara itu dapat dibawa ke dalam Parlimen yang sedang bersidang kini.

“Walaupun pentadbiran negara bukan lagi ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) namun saya yakin hubungan baik antara Malaysia dan Palestin bukanlah sesuatu yang boleh dipolitikkan.

“Jadi, kebetulan Parlimen sedang bersidang maka hasrat dan suara Palestin akan saya cuba bawa ke dalam Parlimen,” ujar beliau ketika menerima kunjungan hormat daripada Ahli Parlimen Al-Quds yang diketuai oleh pengerusinya Shaikh Hameed Alahmar, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Zahid turut berkata, dunia harus sedar bahawa Palestin tidak keseorangan dan rakyat Malaysia tentunya akan terus membantu permasalahan yang sedang dihadapi oleh negara itu.

Sementara itu, dalam perjumpaan tersebut Shaikh Hameed menyuarakan agar satu jawatankuasa tetap antara UMNO dan Palestin dapat ditubuhkan demi membantu rakyat negara tersebut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.