Tokoh Besar PH Berkempen Di Rantau Perkara Biasa, Tok Mat Lebih Diyakini – Khairy

 


REMBAU, 5 April – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin melihat sesiapa pun yang turun membantu kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ianya adalah perkara biasa.

Bagi beliau, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat lebih diyakini kerana pemimpin ini bukan sahaja anak tempatan dan penyandang kawasan berkenaan tetapi juga yang menjalankan tugas-tugas presiden parti.

“Sesiapa pun datang berkempen di Rantau bagi pihak lawan samada Datuk Seri Anwar atau pun Tun Dr Mahathir pun, kami yakin calon BN sebab calon BN bukan sekadar anak tempatan dan penyandang kawasan ini tetapi beliau juga yang menjalankan tugas presiden.

“Bagi BN kami sentiasa memantau perjalanan kempen mereka… setiap hari kita akan jawab dan balas serta memberi penerangan supaya tidak ada apa-apa perkara atau isu yang tidak dijawab. Tugas saya memberikan penerangan semula dalam ceramah terhadap apa yang dibangkitkan. Jadi sesiapa pun datang serta pengaruh apa pun yang disandarkan calon PH, tugas saya membantu Tok  Mat menjawab isu-isu,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Sawah yang turut disertai Tok Mat.

Dalam perkembangan sama, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Rembau menambah usaha perlu digiatkan lagi dalam meningkatkan keyakinan pengundi menjelang hari pembuangan undi 13 April ini.

“Kita kena kerja lebih kuat dan saya nampak sokongan daripada pengundi tempatan Melayu baik terhadap Tok Mat dan juga BN. Di kalangan bukan Melayu pun sedang meningkat dan kita perlu bekerja lebih kuat. Kita tidak mahu kemenangan Tok Mat datang daripada satu kaum sahaja dan kita mahu kemenangan daripada semua.

“Tok Mat banyak jasa kepada pengundi di sini sama ada pengundi Melayu dan bukan Melayu. Jadi tidak ada sebab mereka tidak memberikan sokongan kepada Tok Mat. Kalau Datuk Seri Anwar merayu kepada pengundi Melayu supaya jangan tengok pada kaum calon daripada PH, samalah juga kepada pengundi bukan Melayu di Rantau ini terutama apabila kita mengambil jasa Tok Mat terhadap masyarakat bukan Melayu.

“Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang telah dibina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang telah dinaik taraf serta dibina, diselesaikan masalah tanah dan sebagainya lagi… jadi Tok Mat adalah pemimpin untuk semua dan saya harap mesej ini dapat kita ulang di Rantau ini,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.