PH Menipu Lagi, Beban Hutang Jelas Meningkat Di Bawah PH… Bukan Berkurang

KUALA LUMPUR, 5 April – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menipu dalam Dewan Rakyat apabila mereka mengeluarkan kenyataan pagi semalam bahawa hutang negara berkurang selepas pertumbuhan KDNK, kata mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Tegas beliau, beban hutang jelas meningkat di bawah kerajaan PH dan bukan berkurang seperti jawapan rasmi mereka di dalam Parlimen
Dalam hal ini, beliau mengulas kata mereka ‘sekarang KDNK negara sudah meningkat, apabila KDNK meningkat, peratus hutang menjadi kurang.’

“Secara am, kenyataan ini adalah betul dan apa yang telah berlaku di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk tahun-tahun yang lepas, tetapi ianya adalah mustahil untuk ini telah berlaku pada tahun lepas di bawah PH,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebooknya, semalam.

Terangnya yang juga Ahli Parlimen Pekan, ini ialah kerana pertumbuhan KDNK pada tahun 2018 (4.7%) adalah lebih rendah berbanding pada tahun 2017 (5.9%) manakala defisit kerajaan telah meningkat kepada 3.7% untuk tahun 2018 berbanding 3% untuk tahun 2017.

“Bajet perbelanjaan tambahan yang diminta untuk tahun 2018 lepas pun sudah RM19.6 bilion. Jika pertumbuhan KDNK adalah lebih rendah manakala defisit adalah lebih tinggi, mana mungkin nisbah hutang kepada KDNK akan berkurang?

“Kecuali pengiraan ini dibuat oleh seorang akauntan tidak bertauliah yang kuat wayang.

“Data rasmi kerajaan menunjukkan nilai hutang kerajaan telah naik dari RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 kepada RM741.1 bilion pada akhir tahun 2018 (dan sudah meningkat lagi ke RM777.1 bilion pada akhir bulan Mac 2019)”

Jelasnya, nilai KDNK negara pula naik dengan kadar lebih rendah iaitu kepada RM1.429 trilion pada tahun 2018 berbanding RM1.353 trilion pada tahun 2017.

“Ini bermakna nisbah hutang kepada KDNK telah meningkat menjadi 51.8% pada akhir tahun 2018 dari nisbah 50.7% pada akhir tahun 2017.”

“Beban hutang jelas meningkat di bawah kerajaan PH dan bukan berkurang seperti jawapan rasmi mereka di dalam Parlimen,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.