Jasa Dan Bakti Tok Mat Jadi Saksi, Kepentingan Rakyat Sentiasa Di Hadapan


SEREMBAN, 5 April – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kembali memberi kepercayaan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut.

Ini kerana katanya, Mohamad yang lebih dikenali Tok Mat Hasan terbukti telah banyak membuat jasa bukan sahaja kepada rakyat tempatan malahan keseluruhannya di Negeri Sembilan.

“Kemenangan Tok Mat Hasan ini penting kerana sebagai Pemangku Presiden kita yang bertanding. Kedua kawasan yang berjaya dibangunkan oleh Tok Mat Hasan dengan pertolongan kerajaan Persekutuan pada ketika itu.

“Saya harap rakyat di sini boleh melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana sebuah tempat yang sunyi dulunya sebuah ladang dibangunkan menjadi sebuah perbandaran baru, pembangunan baru, kehidupan baru dengan lebih maju dan lebih teratur.

“Kejayaan Tok Mat Hasan menukar wajah ladang Sendayan menjadi Seremban 2 yang baik ini harus menjadi contoh bagaimana kejayaan seorang menteri besar mengubah kehidupan rakyatnya,” ujarnya kepada UMNO-Online, ketika ditemui di Taman Bukit Sendayan, di sini, baru-baru ini.

Jelas ADUN Kok Lanas itu lagi, jasa yang telah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu pamerkan menjadi bukti kerajaan BN tidak bercakap kosong dalam meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

“Dan saya rasa bukti yang Tok Mat Hasan tunjuk ini haruslah dihargai oleh rakyat bahawa kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

“Dan kita tidak cakap kosong, kita bukti dengan kerja, bukti di depan mata, orang kata ada mata kena tengok, ada telinga kena dengar, ada hati kena nilai. Inilah yang telah berlaku,” ujarnya lagi.

Selain itu tambahnya, rakyat perlu memilih Tok Mat Hasan atas faktor anak tempatan dan hubungan yang amat rapat dengan penduduk setempat.

“Tok Mat Hasan adalah anak tempatan, orang sini jika nak banding dengan calon lain orang luar, bukan orang sini tidak ada hubungkait yang kukuh dengan rakyat. Tok Mat Hasan rasa orang sini adalah orang kampungnya,” katanya lagi.

Justeru katanya seluruh jentera dan pendukung harus bekerja kuat demi mempastikan kemenangan Tok Mat di PRK tersebut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.