Enam Hari Berkempen, Alhamdulillah Momentum Gerak Kerja Berjalan Lancar -Tok Mat

 

REMBAU, 5 April – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya berpuas hati dengan gerak kerja kempen yang memasuki hari keenam hari ini.

Menurut beliau jentera bergerak dengan baik dan Alhamdulillah tidak ada insiden-insiden yang berlaku dan melanggar peraturan pilihan raya oleh pihak BN dan usaha untuk bertemu seramai mungkin akan terus digiatkan lagi.

“Setelah enam hari berkempen, nampaknya momentum kempen berjalan lancar dan amat baik sekali. Jentera bergerak dengan baik dan seperti yang dirancangkan. Kempen kita dijalankan secara menyeluruh kerana banyak orang tanya saya apa cara dan strategi menjalankan kempen.

“Seperti dikatakan kita cuba untuk menemui seramai mungkin pengundi dalam DUN Rantau dengan kita memecahkan mengikut Pusat Daerah mengundi (PDM) dan daripada sana jentera gerak kerja akan bergerak daripada ‘base’ masing-masing untuk bertemu dengan pengundi dalam usaha meyakinkan mereka agar memberikan sokongan kepada BN semasa PRK ini.

“Saya juga gembira kerana tidak ada insiden-insiden yang berlaku dan melanggar peraturan pilihan raya bagi pihak kitalah… BN. Kita ikut dan patuh kepada peraturan yang telah pun dinyatakan dalam peraturan pilihan raya,” katanya pada sidang media di Command Centre BN, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat melihat momentum pengundi muda amat baik sekali.

“Nampaknya momentum golongan muda amat baik sekali khususnya kita melihat gerak kerja membantu jentera di peringkat PDM. Jika dalam PRU dulu kita susah untuk mendapatkan bantuan daripada orang muda tetapi kali ini kita jelas nampak penyertaan anak muda itu, nampaknya ramai dan ini memberi petunjuk yang baik… juga dalam masa sesi saya berjumpa dengan pengundi di PDM setakat ini nampak ramai yang hadir adalah dikalangan orang muda.”

Tambahnya lagi, komitmen daripada PAS juga amat tinggi dan untuk PRK ini ada sedikit kelainan apabila jentera disatukan dalam satu pasukan gerak kerja.

“Kita amat menghargai dan komitmen amat tinggi dengan jentera PAS turut turun. Orang tidak nampak kerana di Rantau ini kita telah mengubahsuai cara kerjasama UMNO dan PAS berkempen ini dengan kita menyatukan jentera yang bergerak.

Mereka tidak bergerak berasingan tetapi kita cantumkan. Dalam usaha jentera PAS membantu, kita satukan menjadi jentera bersama yang akan pergi rumah ke rumah dan menjalankan gerak kerja kempen secara bersepadu. Kita juga hargai seluruh jentera yang membantu kempen pada PRK ini,” ujarnya.

Menyentuh soal cabaran pada kempen kali ini, Tok Mat berkata Alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan baik walaupun sebelum ini sibuk sebagai Menteri Besar namun tanggungjawab sebagai wakil rakyat berjalan seperti biasa.

“Selama ini pun saya bergerak dan saya menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Setiap minggu saya adakan hari bertemu dengan rakyat di pejabat saya di Pekan Rantau. Walaupun sibuk bertugas sebagai MB pada ketika itu namun saya tidak pernah gagal untuk menyelenggara dan urus tadbir kawasan.

“Alhamdulillah ini menyebabkan saya dapat menjalankan hubungan yang rapat dan di samping itu juga saya telah bersama dengan masyarakat setempat, saya bersekolah serta membesar di sini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.