PRK Rantau: Terdesak Nak Menang, Jangan Diulang Strategi Fitnah PRU14


ALOR SETAR, 4 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob menempelak segelintir pihak yang dilihat sudah terdesak mahu menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sehingga ada yang sanggup tularkan fitnah berkaitan diri beliau sendiri.

Sebelum ini, tular gambar Suraya sedang menghulurkan barangan kepada orang ramai dengan mendakwa kononnya ‘sedang merasuah’ para pengundi di PRK DUN Rantau, sedangkan ketika itu beliau tidak berada di DUN terbabit.

“Sebenarnya, gambar yang ditularkan itu merupakan salah satu program agihan bantuan kecil kepada masyarakat di Kampung Lahar Tunjung, yang terletak di DUN Sungai Tiang, Kedah, kawasan yang diwakili saya sendiri pada 1 April lalu,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Bidasnya, jika pihak kehabisan modal sekali pun, usahlah sanggup menabur fitnah sebegitu kerana selain berdosa besar hukumnya, amat memalukan apabila fitnah itu ‘kantoi’ dan dapat dipatahkan begitu mudah.

“Kami wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidaklah mewah diberi peruntukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk disalurkan kepada rakyat, namun kami rela berkongsi seada mampu bersama bagi meringankan beban yang kian menekan di zaman Malaysia Baharu.”

Selaras dengan itu, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah merangkap ADUN Sungai Tiang menasihati semua pihak agar berkempen secara adil.

“Berkempenlah dengan sihat dan adil. Sesungguhnya rakyat tidak bodoh untuk diperbodohkan sekali lagi. Cukuplah dengan strategi memfitnah dan menipu pada PRU ke-14 yang lalu. Rakyat kini majoritinya sudah ‘celik’, tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.