PH Gagal Laksana ‘Togetherness’ Kerajaan Johor, Lebih Baik Fikir Kos Sara Hidup Rakyat


JOHOR BAHRU, 4 April – Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) seharusnya memikirkan agenda penting untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kulai, Mohd Kamal Ulum Morsin.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kegagalan kerajaan negeri dalam penganjuran Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor Darul Takzim yang berlangsung pada 28 hingga 31 Mac 2019 bertempat di Persada, Johor.

“Program antarabangsa yang diadakan kerajaan Johor ini gagal menarik warga antarabangsa untuk bersama-sama yang menunjukkan orang luar pun tidak percaya terhadap pentadbiran kerajaan Negeri Johor hari ini.

“Justeru, ‘togetherness’ yang ingin dibawa kerajaan Johor dilihat gagal dan tidak mendapat sambutan. Program ini menelan belanja yang besar namun impaknya tidak dirasai oleh para penduduk bangsa Johor.

“Kerajaan PH seharusnya memikirkan agenda penting untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, itu lebih baik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dikatakan festival yang diadakan selama empat hari itu menjadi titik pertemuan bagi pengeluar produk halal antarabangsa serta pembekal perkhidmatan daripada pelbagai sektor baik dari dalam mahupun luar negara dengan seramai 400 booth mengambil bahagian iaitu 200 pempamer tempatan dan 200 lagi pempamer antarabangsa.

EXCO Usahawan Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menganggarkan seramai 60 ribu pengunjung dengan hasil melebihi 2 juta diperoleh melalui festival itu.

“Namun, tidak ada pelaburan atau persetujuan persefahaman dilakukan pada festival ini sama ada dengan pihak tempatan mahupun antarabangsa.

“Seharusnya masa inilah digunakan untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri berjaya menerima pelaburan dan perjanjian persefahaman yang menguntungkan rakyat,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.