Jasa Dan Bakti Jadi Saksi: Sendayan Berubah Wajah Umpama ‘Damansara Negeri Sembilan’


REMBAU, 4 April – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Sendayan hari ini umpama ‘Damansara Negeri Sembilan’ setelah berjaya diselesaikan segala kemelut yang melanda sekian lama sehinggakan ianya bertukar wajah.

Mengumpakan kawasan tersebut sebelum ini seperti ‘tempat jin bermain badminton’, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat melahirkan rasa syukur kerana penduduk mendapat manfaat dan kerajaan negeri sebelum ini sama sekali tidak mengambil kesempatan apatah lagi menipu penduduk setempat.

“Sendayan ini tidak ada apa cerita lagi dah… masa 2004 ketika saya menjadi Menteri Besar, salah satu janji kepada diri saya dan dalam DUN, kalau saya tidak berjaya dan boleh menyelesaikan masalah kemelut tanah Sendayan ini, saya tidak akan lagi bertanding sebagai wakil rakyat dan tidak lagi menjadi MB. Ini janji saya dahulu.

“FELDA Sendayan adalah FELDA kedua selepas dibuka FELDA Lurah Bilut. Bak kata orang… dulu kalau ada cikgu yang kena tukar menangis tiga hari tiga malam… malam-malam gelap sepi dan jalan tanah merah. Semua tidak mahu kalau ditukarkan ke Sendayan, macam pengakhir hayat….

“Syukur Alhamdulillah, hari ini Sendayan dah dibangunkan. Sebelah ini Pengkalan Tentera Udara… siapa sangka Sendayan ‘hutan pekat’ dulu… tempat ‘jin main badminton’ hari ini dah jadi ‘Damansara Negeri Sembilan’… tidak timbul soal saya menipu orang FELDA dan tidak timbul kerajaan pada waktu itu mengambil kesempatan kepada orang FELDA di Sendayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Calon DUN Rantau, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sendayan, di sini, Rabu malam.

Tok Mat seterusnya menegaskan tidak timbul soal tipu dan sebagainya lagi berhubung pembangunan di Sendayan malah ianya akan melonjakkan lagi kawasan tersebut sekiranya Malaysia Vision Valley (MVV) diteruskan.

“Jangan ‘kobarkan’ kata kita tipu orang kampung. Alhamdulillah hari ini tanah yang dua ekar diberikan sebelum ini berharga RM10 pula sekaki… pegang lagi lama lagi tinggi dan sebelum ini saya pernah cakap… buatlah koperasi bersama… jangan kira ekar… jual kira lot… kalau pakai lot lagi mahal sebab Seremban 2,  RM30 sekaki. Kalau dapat RM20 sekaki kat sini kaya kita. Jadi ‘millionaire’ lagi sekali.

“Malang sekali tidak diteruskan MVV… kalau tidak,  Sendayan ini ditengah-tengah daripada Nilai sehinggalah ke Port Dickson sebagai kawasan pembangunan Lembah Klang yang besar.  Sebab saya dah minta dengan Datuk Najib untuk bangunkan Negeri Sembilan bersama Sime Darby yang mempunyai kawasan estet daripada Nilai ke Port Dickson… yang boleh kita bangunkan 153 ribu hektar.

“Saya dah buat perancanga 30 tahun Negeri Sembilan Maju… 30 tahun pembangunan negeri yang akan datang, yang akan turut melonjakkan ekononi serta kewangan kerajaan Negeri Sembilan. Hari ini harapan tinggal harapan… janji-janji yang membuat kita terlena. Hari ini 10 bulan satu habuk pun tidak ada dan semuanya menyesal.

“Inilah rupa kerajaan yang menang atas dasar penipuan dan fitnah semata-mata. Bahkan ramai mengharapkan umpama guruh yang lentam-lentum tetapi akhirnya hujan tidak turun. Tempayan dah dipecahkan… kena pula cari tempayan baru dan jangan lupa 13 April ini… undilah saya,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.