Jangan Ambil Mudah Walaupun Sokongan Kepada Tok Mat Amat Positif

 

REMBAU, 4 April – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melihat penerimaan penduduk tempatan terhadap calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat cukup baik.

Namun pada masa yang sama beliau turut mengingatkan jentera parti agar tidak mengambil mudah malah terus berhati-hati sehingga ke hari pembuangan undi dalam usaha memastikan kemenangan Tok Mat pada PRK kali ini.

“Saya sempat turun rumah ke rumah tadi dan apabila tengok orang ramai di sini kenal Tok Mat dan penerimaan orang ramai terhadap beliau di sini memang tidak boleh dinafikan… telah buat sumbangan dan orang tidak akan lupa jasanya di sini.

“Cuma saya nak mengingatkan jentera parti agar jangan ambil mudah dan pastikan sehingga ke hari mengundi nanti, kenal pasti pengundi serta pastikan mereka keluar mengundi.  Pastikan juga bahawa apa jua perkara yang mungkin dibangkitkan oleh pihak sana sebelum tarikh pembuangan undi dapat kita jawab dan kita patahkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau menyertai sembang santai bersama pengundi di kedai kopi Pekan Kuala Sawah.

Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Sembrong seterusnya berkata jentera parti daripada luar memberikan suntikan semangat kepada jentera tempatan dalam melaksanakan gerak kerja dalam usaha membantu kemenangan BN.

“Kita daripada luar ini hanya boleh beri suntikan semangat dan akhirnya yang akan menentukan jatuh bangun dalam PRK DUN Rantau ialah orang Rantau sendiri. Kita daripada Johor dan bahagian lain hanya mahu beri suntikan semangat. Alhamdulillah saya lega orang di sini memang memberikan sokongan malah mereka pula memberikan semangat kepada kita.

“Kelebihan yang ada pada kita ialah apa yang Tok Mat telah buat untuk mereka… mereka kenal calon Tok Mat… jadi saya rasa pertimbangan politik atau kepartian banyak boleh ditangani dengan pendekatan Tok Mat sendiri sebagai pemimpin yang telah lama di sini. Insya’Allah,” tambahnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.