Jihad Bukan Perang… Umat Islam Diminta Pertahan Tabung Haji Sebagai Jihad Ekonomi


KUALA LUMPUR, 3 April – Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Ariffin berkata, mempertahankan isu yang melibatkan Tabung Haji adalah satu jihad ekonomi.

Justeru jelas beliau, orang bukan Islam harus faham bahawa jihad ini bukan hanya membawa makna peperangan tetapi adalah satu perjuangan.

“Semalam saya bercakap dalam Parlimen berkaitan isu Tabung Haji. Banyak yang saya tanyakan kerana ia penting memandangkan terlalu banyak isu yang melanda Tabung Haji sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pucuk pimpinan negara.

“Umat Islam khususnya penyimpan di Tabung Haji berasa khuatir tentang simpanan mereka maka saya mahu perkara ini dijelaskan kerana ia adalah satu jihad dalam bidang ekonomi,” ujar beliau kepada UMNO-Online di Parlimen hari ini.

Tambah Hassan, apa yang mahu ditegaskan di sini adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam agar jangan tersalah anggap maksud sebenar perkataan ‘jihad’ itu sehingga menimbulkan ketakutan kononnya jihad hanya merujuk kepada peperangan.

Untuk rekod, isu perkataan jihad mula hangat apabila Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu majlis baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa kerjasama UMNO-PAS sebagai jihad untuk menumbangkan kerajaan PH yang didakwanya sebagai ‘anti-Melayu’ dan ‘anti-Islam.

Pada Januari lalu, Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin juga pernah berkata bahawa Malaysia tegas akan memperjuangkan industri kelapa sawit kerana ia merupakan antara hasil utama negara dan ia dianggap sebagai jihad melawan negative perception (persepsi negatif).

Dewasa ini, jihad digambarkan dengan gambaran negatif sekaligus pandangan buruk itu juga dikaitkan dengan agama Islam sedangkan maksud jihad itu sebenarnya sangat luas dan bukan tertumpu hanya kepada peperangan; terdapat juga medan-medan lain yang memerlukan umat Islam berjihad seperti medan pendidikan, pertahanan, ekonomi, perundangan, politik, kesihatan, kemasyarakatan dan sebagainya.

Umat Islam dituntut untuk berjihad dalam bidang-bidang tersebut bagi membangunkan sistem Islam dan memajukan umat Islam. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.