Gara-Gara Pelbagai Janji Mempesona, PH Berdepan Tsunami Yang Mereka Cipta Sendiri

 

REMBAU, 3 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan percaya Pakatan Harapan (PH) hari ini sedang berdepan dengan tsunami yang mereka cipta sendiri apabila sokongan rakyat terutama golongan muda mula dilihat beralih arah.

Menurut beliau, setelah sepuluh bulan berlalu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, mereka yang terpesona dengan segala janji yang ditawarkan mula berpusing arah dan perkara berkenaan diterjemahkan pada PRK Parlimen Cameron Highlands dan PRK DUN Semenyih.

“Saya yakin bukan kerana kita dah menang di Cameron Highlands dan kita menang di Semenyih, tetapi saya yakin apa yang kita lihat dan apa yang kita alami sekarang ini bahawa rakyat dah mula sedar. Rakyat dah mula merasakan mereka tertipu bulat-bulat.

“Penipuan yang dibuat untuk meyakinkan orang supaya lena mendengar janji-janji manis yang telah pun mereka lemparkan. Fitnah-fitnah melampau yang paling dahsyat untuk menjatuhkan kerajaan BN pada ketika itu.

“Ramailah yang leka dan terpesona bahawa PTPTN akan dihapuskan, ramai yang terpesona tol akan dihapuskan, rakyat di FELDA amat gembira sekali apabila mendengar hutang-hutang mereka akan dihapuskan. Banyak lagi yang berjanji… malam ini kita menang esok pagi harga minyak akan turun RM1.50 pun ada yang berjanji begitu.

“Sejauh mana mereka boleh berbohong. Banyak mana mereka boleh berbohong… satu hari nanti… orang dah mula sedar rakyat kena bohong. Itu sebab tuan-puan yang paling cepat sedar bahawa mereka ini telah dibohongi, yang ramainya adalah anak-anak muda.

“Bermula daripada Cameron Highlands dan bertambah besar bilangannya pada PRK Semenyih inilah saluran yang memberikan kemenangan yang besar kepada kita. Jadi ini jelas menunjukkan kepada kita, rakyat dan golongan muda telah membawa satu ombak baru yang mana inilah dulu yang menenggelamkan kita, ombak tsunami ini, hari ini rupa-rupanya sepuluh bulan telah berpusing arah dan mereka sekarang sedang berdepan dengan tsunami yang mereka cipta sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Bersama Tok Mat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Bemban, di sini, Selasa malam.

Mohamad atau lebih dikenali dengan Tok Mat seterusnya berkata orang-orang dan pengundi di Cameron Highlands telah membuat referendum menyatakan betapa mereka amat kesal dengan prestasi PH.

“Jadi pada 13 April nanti, kita di Rantau mesti juga bagi satu referendum yang kuat, referendum yang paling besar untuk kita nyatakan bahawa inilah kita punya bantahan kepada kerajaan PH yang tidak boleh menguruskan negara dengan baik.

“Kita fikirkan DUN rantau… jangan sia-siakan saya. Jadi jentera kita buat elok demi masa depan kita. Rantau akan jadi titik tolak kita bangunkan dan buat betul-betul untuk pastikan suara kita ada… saya ketua pembangkang…. Saya nak tanya apa pasal duit banyak yang ditinggalkan semasa saya jadi MB, rezab sahaja RM764 juta… current account ada RM300 juta. Apa pasal bantuan orang tua dipotong… apa pasal bantuan orang tua tidak diteruskan… takkan bankrap Negeri Sembilan kalau kita tolong orang miskin… kalau kita tolong anak yatim.

“Saya tidak pernah naikkan cukai tanah semasa jadi MB tetapi rezeki kita Alhamdulillah kerana menolong orang miskin… menolong orang tua… menolong anak-anak yatim. Kita perlu tolong. Saya akan soal dalam DUN… jadi saya perlukan sokangan tuan-tuan sebagai pengundi. Jangan lupa 13 April ini undi saya,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.