Dap Sentiasa Prejudis, Cuba ‘Google’ Betul-betul Maksud Jihad – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR 2 April – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak akan menarik balik istilah jihad yang digunakan bagi menjelaskan kerjasama UMNO dan PAS dalam memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

Tegas beliau, tindakan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang menggesanya supaya menarik balik istilah itu menunjukan pemimpin Dap sentiasa bersangka buruk terhadap Islam.

“Sudah tentu tidak (tarik balik istilah jihad). Kita belajar sesuatu Dap sentiasa prejudis dan sering mempunyai persepsi negatif dengan Islam.

“Apabila UMNO bekerjasama dengan PAS hendak mewujudkan kerajaan dan pemerintahan Taliban bermaksud Islam itu agama yang ganas,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, penjelasan mengenai jihad telah dibuat dan istilah itu boleh digunakan dalam pelbagai aspek seperti ekonomi dan pendidikan.

Kata beliau, tindakan menakutkan orang bukan Islam berlaku kerana kesilapan mereka mentafsir Islam, bukan melalui hubungan dan kerjasama UMNO dan PAS.

“Cuba ‘Google’ betul-betul, kalau tak nak baca buku banyak. Apa maksud jihad? Sangat jelas, jihad itu perjuangan dalam perkara baik malah jihad terhadap diri sendiri pun boleh.

“Jihad bukan perang dan tindakan dua stesen televisyen mengaitkan kenyataan saya itu untuk menakutkan orang bukan Islam,” katanya.

The Malaysian Insight semalam melaporkan Ismail Sabri berkata, perjuangan PAS dan UMNO merupakan jihad untuk menumbangkan kerajaan anti-Islam kepada kerajaan Melayu dan Islam.

Susulan daripada itu, Lip Eng menggesa Naib Presiden UMNO itu supaya menarik balik kenyataan tersebut dalam tempoh 24 jam yang berakhir hari ini dan sekiranya gagal akan menggesa polis mengambil tindakan. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.