Tok Mat Tak Ambil Mudah, Guna Tempoh Kempen Yakinkan Pengundi DUN Rantau


REMBAU, 1 April – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau akan terus menggunakan tempoh kempen yang ada untuk terus meyakinkan pengundi di DUN berkenaan.

Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, pihaknya tidak akan mengambil mudah atau rasa selesa berkenaan PRK kerana politik adalah dinamik dan bukannya statik.

Saya memang dah atur program setiap malam. Ceramah setiap malam dan saya akan cuba sedaya upaya untuk bertemu seramai mungkin pengundi walaupun pengundi di Rantau mengenali saya. Semalam saya berada di Taman Sejati, Kuala Sawah apabila saya datang jumpa, mereka mengatakan Datuk tidak payah jumpa kami… sebagai kempen saya pergi jumpa mereka dan terus meyakinkan pengundi. Dalam politik ini ianya dinamik dan tidak statik.

“Boleh jadi hari ini mereka menyokong saya tetapi macam-macam nanti… masuk angin mereka akan mengubah pendirian. Saya tidak boleh merasa selesa dan mengambil mudah tentang kempen pilihan raya. Saya akan cuba yang terbaik dan bertemu seramai mungkin pengundi di DUN Rantau dan seperti yang saya katakan Rantau ini sesuatu yang amat penting untuk kedua-dua parti,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kata Tok Mat, itu sebabnya pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengatakan bahawa Rantau ini merupakan ibu kepada ‘by election’.

“Menang atau kalah mereka di DUN Rantau ini tidak mengubah kerajaan Persekutuan atau negeri tetapi kerana Mohamad Hj Hasan bertanding di Rantau. Mereka nak mematikan momentum BN kebangkitan UMNO dan BN.

“UMNO dan BN pula mahu mengekalkan momentum baik kita menang di Cameron Highlands dan Semenyih serta boleh menang di Rantau… kita akan meneruskan agenda untuk menyatupadukan rakyat, penyatuan ummah dan bekerjasama dengan parti yang tidak berada di dalam PH serta NGO lain untuk membentuk blok pakatan pembangkang sebagai ‘check and balance’, prestasi kerajaan sedia ada,” tambahnya lagi.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan BN, PH dan dua calon daripada Bebas. BN mengekalkan Datuk Seri Mohamad Hasan, begitu juga PH yang turut menampilkan calon sama sebelum ini, S. Streram dan calon Bebas pula R. Malar dan Mohd Nor Yasin.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S. Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan badan pengendali pilihan raya negara itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.