Tekad PAS, Komitmen Tinggi Pastikan Kemenangan Tok Mat


REMBAU, 1 April – Komitmen PAS berada di tahap tertinggi dalam membantu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, ujar Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor itu, selain membantu BN berkempen mendekati pengundi-pengundi mereka, kemuncaknya adalah penglibatan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Insya-Allah mesyuarat penuh jawatankuasa PAS Pusat yang akan bermesyuarat telah memutuskan kerana kita telah melihat kepentingan bersama pada hari ini untuk memberikan kemenangan BN di sini maka PAS Pusat telah membuat keputusan mengadakan mesyuarat dalam Rantau ini.

“Pada 11 haribulan juga, kita akan turun ke bawah dan Insya-Allah malamnya bersama dengan Datuk Presiden PAS kita akan mengadakan ceramah kemuncak bagi membantu BN di sini. Ini komitmen kita,” tegasnya dalam ceramah isu-isu semasa di Majlis Mesra Bersama Tok Mat Calon N27 DUN Rantau, malam tadi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan, di Nusari Bayu, Bandar Sri Sendayan, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan hadir ke majlis tersebut dan memberikan ucapan.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi.

Justeru, Yang Dipertua PAS kawasan Kluang itu juga berkata adalah satu kerugian yang besar sekiranya rakyat terpengaruh dengan dakyah pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa tiada sebarang pembangunan yang wujud di kawasan tersebut sepanjang Mohamad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dahulu.

“Sekiranya penduduk di DUN Rantau ini tidak memilih Tok Mat sebagai wakil rakyat, ia adalah satu kerugian yang besar….

“Sebab itu bagi PAS, komitmen yang kita berikan kepada BN adalah untuk menghadapi pilihan raya bukan semata-mata kerana kita benci kepada PH, tetapi kita kena menerima hakikat bahawa kerajaan yang sedang memimpin kita pada hari ini sama ada di peringkat pusat termasuklah di peringkat negeri, pemimpin-pemimpin yang sedang memimpin rakyat tidak ada hala tuju untuk membangunkan rakyat,” tambahnya.

Jelasnya, dengan suasana yang terjadi hari ini, seharusnya rakyat tidak boleh terus membiarkan PH terus memerintah negara.

“Negara kita hari ini semakin terancam, masa depan ketuanan Melayu, masa depan agama kita, masa depan Raja-raja kita, dengan kerajaan yang ada pada hari ini….

“Sekiranya mereka terus memerintah negara, ketiga-tiga perkara ini akan terus terancam,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.