PRK DUN Rantau Boleh Jadi Medan Pertama Politik Matang – Tok Mat

 

REMBAU, 1 April – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau boleh menjadi medan pertama kepada politik matang.

Beliau yang juga calon BN PRK DUN Rantau berkata semua pihak seharusnya melaksanakan politik yang mana akhirnya rakyat akan mendapat keuntungan.

“Harap kita di Malaysia ini kita bawa politik matang. Sejauh mana kita nak bawa politik memburuk-burukkan orang? Kita mesti melaksanakan politik yang mana akhirnya rakyat akan mendapat keuntungan.

“Di situlah rakyat boleh menilai parti mana yang mereka sokong dan parti mana yang harus mereka bagikan kepercayaan untuk mentadbir negara kerana selagi kita mengamalkan politik memburukkan orang, mencaci-maki dan memfitnah kita tidak akan pergi ke mana.

“Itu yang saya kata kita perlu politik matang iaitu memberi sesuatu apa yang dipanggil sebagai ‘blueprint’ kepada rakyat bahawa jika pilih kami, ini yang kami akan buat. Itu penting dan pastikan ‘blueprint’ tersebut dijayakan.

“Itu sebab saya kata tadi politik dua parti ini penting. Kalau mereka tidak buat ‘blueprint’ atau manifesto mereka, rakyat akan membuang parti tersebut dalam ‘general election’. Jadi kalau ini dapat kita lakukan ini akan mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada rakyat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Tegas Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat, apa yang berlaku di Malaysia sekarang adalah politik memfitnah, ‘character assassination’… itu kita tidak akan ke mana. Kita tidak berubah dan masih lagi hidup atau beroperasi pada takuk yang lama.

“Jadi saya harap di Rantau ini kita memulakan satu politik matang… ‘the best man win’… kita buat macam itu supaya rakyat akhirnya tidak terbeban dengan fitnah serta caci-maki tetapi rakyat merasakan the ‘feel good factor’. Kita ada pengharapan baru,” tambahnya lagi.

PRK Rantau diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.