Pentadbiran Dap Dibidas… Sibuk Jaga Negeri Orang, Rakyat Di Tempat Sendiri Terabai

KUALA LUMPUR, 1 April – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Rosesarwandi Saad membidas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof Dr. P Ramasamy yang bersuara soal isu petani di Cameron Highlands, Pahang sedangkan masalah-masalah berbangkit di Pulau Pinang tidak diambil tahu.

Katanya, Dr. P Ramasamy membuat tuduhan melampau kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga menggesa untuk meletakkan jawatan susulan isu penguatkuasaan ke atas penceroboh tanah haram di Cameron Highlands.

“Jika isu membabitkan rakyat di Cameron Highlands boleh disuarakan maka kami tertanya-tanya di mana suara Ramasamy sewaktu rakyat di usir dari rumah… di mana kelibatnya sewaktu rakyat menagih simpati kerajaan negeri di Komtar baru-baru ini?

“Selesaikanlah masalah yang berbangkit di Pulau Pinang terlebih dahulu khususnya penyediaan rumah kos rendah, sederhana rendah, rumah PPR yang ditunggu-tunggu rakyat, malahan sejak 10 tahun kerajaan Dap mentadbir Pulau Pinang tidak ada satu pun rumah PPR di bina,” tegasnya kepada UMNO-Online.

Dilaporkan, Dr.Ramasamy sebelum ini telah membuat kenyataan menggesa Wan Rosdy meletak jawatan apabila terdapat kira-kira 60 pencerobohan tanah haram di sekitar Sungai Ichat dan kawasan rezab tadahan air Sungai Terla, Cameron Highlands yang membabitkan pengusiran petani di kawasan tersebut.

“Ini jelas dilihat Ramasamy gagal dan tidak bersikap profesional khususnya dalam isu pencemaran alam oleh kerajaan negeri.

“Kami berasa hairan dan pelik dengan sikap yang ditunjukkan oleh Ramasamy lebih-lebih lagi terhadap pertikaian isu yang membabitkan pencemaran alam sekitar.”
Rosesarwandi berkata dapat dilihat tindakan Ramasamy adalah tuduhan melampau dibuat yang berdasarkanpandangan semata-mata tanpa mengambil kira kedudukan dan peranan kerajaan negeri Pahang.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bayan Baru itu menambah, Ramasamy telah menyebut bahawa Sungai Terla merupakan sungai yang membekalkan air minuman kepada penduduk dan bukannya Sungai Ichat, walaupun kedua-dua sungai ini terletak berdekatan dan bergabung pada satu lokasi.

Justeru sudah tentulah kedua-dua sungai ini akan bergabung dan menjadi sumber air bagi kegunaan sebahagian penduduk Cameron Highlands.

“Sungai ini perlu dikawal supaya tidak tercemar. Tindakan dan pencegahan pencemaran air perlu diselia supaya tidak terjadi tragedi di Pasir Gudang baru-baru ini,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.